Diterbitkan pada 15 Ogos 2023, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang giat membangunkan mekanisme pengumpulan dana khusus dengan sasaran sebanyak dua bilion bagi penubuhan Malaysia Science Endowment (MSE).

MSE memainkan peranan penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan kerajaan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara.

“MOSTI percaya bahawa dengan memulakan perjalanan transformatif tersebut akan memberikan impak yang ketara apabila perusahaan dan individu dengan nilai kekayaan tinggi berganding bahu untuk menyumbang kepada kemajuan R&D dan inovasi,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Chang Lih Kang dalam Majlis Pengumuman Penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2023.

Ujar beliau, perusahaan dan individu dengan nilai kekayaan tinggi akan diiktiraf atas komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial korporat dan berpeluang membentuk trajektori sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) yang berorientasikan misi.

Selain itu, kerajaan akan memastikan tadbir urus yang telus, penggunaan sumber yang berkesan dan strategi pelaburan yang berhemat dengan adanya kerjasama pakar dan pemegang taruh.

MSE bukan sekadar pembiayaan R&D alternatif untuk negara tetapi model kerjanya adalah untuk memanfaatkan faedah yang akan dijana daripada pelaburan dan digunakan lebih menyeluruh melalui mekanisme dana padanan dengan membawa pemegang taruh quadruple helix bagi memberikan tumpuan kepada R&D yang dipacu penyelesaian dan keutamaan berdasarkan keperluan negara.

Jelas beliau lagi, inisiatif tersebut akan melengkapkan landskap pembiayaan R&D semasa, melonjakkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.5 peratus menjelang tahun 2030, yakni selari dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030.

Dalam majlis yang sama, Pensyarah Kanan, Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), YBrs. Dr. Fazren Azmi telah dinobatkan sebagai penerima Geran Penyelidikan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh 2023 yang membolehkan beliau dianugerahkan geran bernilai RM50 000 untuk menjalankan penyelidikannya yang bertajuk Bioengineered-Microalgae Oil Droplet as a Production Platform of Advanced Immunogenic Protein Particles for Intranasal COVID-19 Nanovaccine Formulation.

Sejak penubuhannya pada tahun 1997, Akaun Amanah Kesihatan Dr. Ranjeet Bhagwan Singh yang merupakan inisiatif mendiang Dr. Ranjeet Bhagwan Singh telah membiayai 27 projek penyelidikan dan 11 bengkel teknikal.

Terdahulu, Dekan Jabatan Kesihatan Awam Saw Swee Hock, National University of Singapore (NUS), YBrs. Profesor Teo Yik Ying telah menyampaikan syarahan peringatan bertajuk Promise (and over promise) of Precision Public Health.

Syarahan yang disampaikan itu meneroka potensi yang dibawa oleh teknologi kepersisan melalui lensa kesihatan awam yang menyentuh sains pelaksanaan, kecekapan dan keberkesanan kos serta menekankan kerjasama pelbagai sektor yang diperlukan untuk kaedah kepersisan diterima pakai.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi