Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pendaftaran Liga E-sukan Malaysia 2023 (MEL23) anjuran Esports Integrated (ESI) peringkat negeri dan kebangsaan kini dibuka hingga 23 Ogos 2023 menerusi platform rasmi esukan.gg.
Penganjuran MEL23 itu sebagai satu daripada inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memangkin ekosistem sukan elektronik yang rancak, inklusif dan mampan di negara ini.
Selain ESI, penganjuran MEL23 tersebut ialah hasil kerjasama dengan 16 Persatuan Sukan Elektronik Negeri dan Wilayah Persekutuan serta disokong oleh Goodday (rakan minuman rasmi), Rakita 107.9 (rakan media) dan Rakan Muda (rakan pelaksana).
Dalam Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik KBS 2020-2025, MEL23 merupakan program utama yang menyediakan platform persaingan inklusif untuk mencungkil bakat sukan elektronik tempatan.
Penganjuran MEL23 melibatkan kejohanan yang bermula dari peringkat liga negeri dan kebangsaan ke peringkat profesional tempatan, iaitu Kejohanan Sukan Elektronik Malaysia (MEC) dan seterusnya ke peringkat profesional anjuran Penerbit Permainan seperti Mobile Legends: Pro League Malaysia dan PUBG Mobile National Championship Malaysia.
Pada peringkat liga negeri dan kebangsaan, sebanyak empat jenis permainan dipertandingkan dalam MEL23, iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Player Unknown’s Battleground Mobile (PUBGM), eFootball Mobile dan Valorant, manakala tiga permainan dipertandingkan untuk siri terbuka, yakni Dota 2, eFootball, Console dan Tekken 7 dengan jumlah hadiah kemenangan terkumpul bernilai RM393 700.
Untuk makluman, MEL23 liga negeri akan berlangsung pada 28 Ogos 2023 hingga 5 November 2023, manakala MEL23 peringkat kebangsaan pula akan berlangsung pada 16 Oktober 2023 hingga 1 November 2023.
Sementara itu, pendaftaran untuk siri terbuka MEL23 akan dibuka pada 1 Oktober 2023 hingga 26 Oktober 2023.
Sebarang pertanyaan mengenai MEL23 boleh menghubungi Penolong Naib Presiden, Program dan Acara ESI, Encik Junaidy Al-Johary Jamil di talian 012-927 3497, e-mel [email protected] atau melayari laman sesawang Impact Integrated.