Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Sebanyak 19 pelajar daripada Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri (KPKI), Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengikuti Kursus Industrial Hygiene Technician 1 (Pengawasan Bahan Kimia) selama lima hari di National Institute Occupational Safety and Health (NIOSH) melalui penajaan Kementerian Pengajian Tinggi di bawah program Penjana The Ministry of Higher Education’s Professional Certification (KPT-PACE).
Kursus ini merupakan program peningkatan kemahiran dan pengukuhan kompetensi pelajar tahun akhir dan graduan melalui pensijilan profesional berasaskan kepakaran dan kompetensi mengikut bidang pengajian supaya pelajar dapat menjalankan pengawasan bahan kimia dan menjadi pegawai amalan kesihatan (hygiene) yang kompeten dan berdaftar dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Melalui kursus ini, pelajar didedahkan dengan topik yang merupakan asas dalam bidang amalan kesihatan industri seperti prinsip amalan kesihatan industri, prinsip bahan pencemar udara, kesan bahan pencemar udara terhadap kesihatan, prinsip analisis kimia dan had piawai pendedahan bahan pencemar udara.
Pelajar juga diperkenalkan dengan pelbagai peralatan dan kaedah pensampelan bahan pencemar udara, kaedah pensampelan dan analisis bahan pencemar udara dan strategi pensampelan bahan pencemar udara.
Menurut Pakar Teknikal III, Encik Mohd. Nor Razif Noraini, sebelum pensampelan bahan pencemar udara dilakukan, kalibrasi peralatan persampelan udara individu perlu dilakukan.
“Hal ini adalah untuk memastikan data yang diperoleh adalah tepat dan jitu,” jelasnya lagi.
Beliau juga mengajar peserta bengkel untuk mengintepretasi keputusan hasil persampelan dan analisis bahan pencemar udara dan kaedah menulis laporan berdasarkan hasil tersebut.
Dalam kursus ini juga, pelajar dibahagikan kepada empat kumpulan berdasarkan makmal untuk menganalisis bahan pencemar udara, iaitu makmal analisis zarah boleh sedut, fiber, wasap dan gas serta wap organik serta membentangkan laporan hasil pengawasan kimia.
Sebelum kursus berakhir, sesi taklimat terhadap prosedur menduduki peperiksaan telah disampaikan oleh Encik Mohd Aizuddin Mohamed Rosly, pegawai di Bahagian Peperiksaan dan Persijilan, NIOSH.