Diterbitkan pada 11 Ogos 2023, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Behrang – Majlis Pelancaran TVET Digital POLYCC yang diadakan di Politeknik Sultan Azlan Shah pada hari ini adalah bertepatan dengan pelan pendigitalan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memfokuskan pendigitalan dalam semua aspek pengurusan, pendidikan, pembelajaran dan perkhidmatan.

Selaras dengan agenda mentransformasikan POLYCC, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengambil inisiatif dengan mewujudkan TVET Digital dalam memantapkan pendigitalan pendidikan dan ketersediaan warga dan institusi JPPKK terhadap teknologi baharu.

“Pelancaran transformasi TVET Digital POLYCC berkenaan jelas membuktikan bahawa politeknik dan kolej komuniti telah menyahut hasrat kerajaan dalam memperkasakan pendigitalan dan bersedia untuk mengadaptasi teknologi baharu,” kata Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar ketika berucap dalam majlis pelancaran tersebut.

Menurut beliau, pelan pendigitalan juga merupakan perkara penting yang sedang dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan satu daripada inisiatif KPT untuk memantapkan tatakelola dan ketangkasan penyampaian bagi memperkasakan rakyat di bawah ekonomi MADANI.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Mohd Zahari Ismail menyatakan bahawa inisiatif pendigitalan tersebut bukan sahaja dijalankan pada peringkat induk, malah rakan agensi seperti Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan beberapa pemain industri yang lain turut memberikan sokongan terhadap usaha yang dilaksanakan.

Ujar beliau, dengan peruntukan khas yang diterima daripada MAMPU, Sistem Pembelajaran Digital POLYCC atau dikenali sebagai CIDOS 4.0 merupakan sistem pembelajaran yang menggunakan teknologi pengkomputeran awan dan digunakan untuk proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian kepada hampir 100 ribu pelajar POLYCC tanpa gangguan trafik yang sering berlaku seperti sebelum ini.

Usaha pendigitalan tersebut bertujuan mempersiapkan graduan TVET POLYCC yang berkualiti dan bersedia bagi mendepani teknologi baharu dan diharapkan melalui transformasi berkenaan yang mempunyai 25 inisiatif bermula tahun ini hingga tahun 2027 dapat menyahut saranan pendigitalan oleh pihak kerajaan, terutamanya dalam aspek proses pembelajaran pelajar.

Pada masa yang sama, YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar berkesempatan melawat ke ruang pembelajaran Immersive XR dan Autonomous Vehicle 4IR Flagships di politeknik tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi