10 Ogos 2023, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sekretariat Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Pemantapan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni di Tamu Hotel & Suites, Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini bagi merangka program pembangunan mahasiswa FSK dan sumbang saran pelaksanaan aktiviti dalam membina jaringan antara alumni dengan pihak universiti.

Bengkel yang disertai oleh 21 orang peserta itu terdiri daripada wakil program pengajian di FSK, UKM dan dipertanggungjawabkan untuk merangka projek sinergi yang boleh dijalankan bersama-sama alumni masing-masing demi pembangunan pelajar sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan serta imej universiti.

“Pelan strategi HEPA menggariskan empat strategi pemerkasaan HEPA, iaitu pemerkasaan persatuan pelajar, kecemerlangan siswa, jaringan alumni dan kebajikan pelajar,” kata Penolong Dekan HEPA, FSK, UKM, YBrs. Dr. Mohd Sham Othman ketika menyampaikan kata alu-aluan dalam bengkel berkenaan.

Penolong Dekan HEPA, FSK, UKM, YBrs. Dr. Mohd Sham Othman.

Antara projek sinergi yang boleh dilakukan oleh bakal graduan sebagai persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan yang dapat dirangka menerusi bengkel tersebut termasuklah Bengkel Tatarias dan Etika Pemakaian, Career Boot Camp dan latihan temu duga bersama-sama wakil industri yang menyasarkan pelajar tahun akhir agar dapat meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa.

Semasa bengkel tersebut berlangsung, Penyelaras Siswa dan Perkembangan Graduan, FSK, UKM, YBrs. Dr. Nurul Huda Razalli menyatakan bahawa graduan UKM sudah terbukti mempunyai kebolehpasaran yang tinggi, namun perlu mempersiapkan diri masing-masing dengan kemahiran generik agar mereka mampu terus relevan berada dalam pasaran.

Penyelaras Siswa dan Perkembangan Graduan, FSK, UKM, YBrs. Dr. Nurul Huda Razalli.
Penyelaras Alumni FSK, UKM, YBrs. Dr. Siti Fathiah Masre.

Sementara itu, Penyelaras Alumni FSK, UKM, YBrs. Dr. Siti Fathiah Masre pula berpandangan bahawa alumni boleh memberikan sumbangan dalam pelbagai bentuk seperti pendanaan, kemahiran, pengajaran ataupun penyelidikan.

“Bengkel sebegini amat bermanfaat dalam mengurus dan merancang aktiviti pelajar dan alumni pada peringkat fakulti dan wakil program juga berpeluang memberikan pendedahan tentang hala tuju universiti, terutamanya dalam mengeratkan hubungan antara alumni dengan fakulti,” ujar wakil program Terapi Cara Kerja merangkap pegawai pemulihan perubatan, Encik Mohd Wafi Mohammad.

Para peserta mendengar sesi pembentangan oleh penceramah.
Sekitar Bengkel Pemantapan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni berlangsung.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.