Oleh Nurul Mirza
7 Ogos 2023, 09:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Sebanyak 36 orang murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Enam, Bandar Baru Bangi, Selangor telah menyertai Program Ekspedisi Wira Galaksi anjuran Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kursi Kelestarian UKM-YSD serta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) di Taman Lestari FKAB.

Program yang dijalankan dengan kerjasama daripada pelajar prasiswazah, siswazah, pegawai penyelidik dan pensyarah UKM itu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar tentang cara yang betul untuk menggembur, menuai dan membaja tanaman sayur-sayuran sekali gus memupuk minat peserta makan makanan yang berkhasiat.

Peserta sedang menyemai dan menyiram pokok bayam Brazil.

“Aktiviti seumpama ini adalah selari dengan satu daripada misi Kelab Alam Sekitar di sekolah ini dan kami sangat mengalukan-alukan kerjasama daripada pelbagai pihak, terutamanya universiti untuk menjalankan aktiviti yang boleh memberikan pendedahan tentang kepentingan memulihara alam sekitar kepada murid,” kata Penyelaras Kelab Alam Sekitar SK Jalan Enam, Puan Isnani Wahab ketika menyampaikan kata alu-aluan.

Aktiviti menggembur tanah.

Dalam program tersebut, peserta akan berada di tiga stesen sepanjang program berlangsung, misalnya peserta di Stesen Pertanian Bandar didedahkan dengan pelbagai jenis tanaman seperti tebu, bayam Brazil dan tanaman lain dan diberikan peluang untuk membawa pulang hasil tanaman tersebut ke rumah untuk dijaga serta dapat menikmati tebu segar daripada Taman Lestari.

Tanaman yang disemai dibawa pulang ke rumah untuk dijaga.

Seterusnya, peserta yang berada di Stesen Permainan Papan pula berpeluang bermain dengan mainan papan yang dinamakan sebagai Ekspedisi Wira Galaksi bagi memupuk minat dan mengetahui tahap pengetahuan peserta tentang sayur-sayuran dan buah-buahan melalui jalan cerita yang menarik.

Sekitar aktiviti permainan papan berkaitan dengan kepentingan sayur-sayuran.

Dalam permainan yang diinovasikan oleh penyelidik daripada Program Dietetik, UKM yang diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf itu, peserta dipertanggungjawabkan sebagai wira untuk menjalankan satu misi bagi menyelamatkan bumi yang kini berada dalam keadaan tenat disebabkan oleh serangan penyakit.

Sementara itu, peserta yang berada di Stesen Cef Cilik pula diajar untuk memasak menu sihat, iaitu sandwic mufin telur dengan menggunakan bahan yang telah disediakan dan sesi penerangan tentang khasiat semua bahan ramuan yang digunakan dalam menu tersebut dijelaskan kepada peserta sebelum mereka mula memasak.

Sesi penyediaan sandwic mufin telur.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.