5 Ogos 2023, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bengkel Pengurusan Keratokonus anjuran Program Optometri dan Sains Penglihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan di Fakulti Sains Kesihatan, UKM Kampus Raja Muda Abd Aziz, hari ini.

Bengkel berkenaan disertai oleh 48 orang peserta yang terdiri daripada pelatih optometris, optometris bertauliah serta penyelidik.

“Bengkel ini diadakan bertujuan memberikan pendedahan kepada pengamal optometris tentang teknologi terkini untuk rawatan pesakit keratokonus dan membantu pelatih optometris mempersiapkan diri dalam menghadapi tahun klinikal mereka,” kata Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan UKM, YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin ketika memberikan ucapan alu-aluan kepada para peserta program tersebut.

Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan UKM, YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin.

Sesi bengkel tersebut dimulakan dengan perkongsian daripada dua buah syarikat pengeluar kanta sentuh antarabangsa yang terkemuka, iaitu Menicon Malaysia Sdn. Bhd. dan Brighten Optix Malaysia Sdn. Bhd. yang memperkenalkan produk terkini masing-masing, cara pemasangan kanta sentuh khas dan seterusnya melakukan demonstrasi pemasangan kanta sentuh yang betul kepada pesakit.

Menicon Malaysia Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang berpangkalan di Jepun dan memiliki pengalaman yang luas lebih daripada 50 tahun dalam inovasi kanta sentuh khas, manakala Brighten Optix Malaysia Sdn. Bhd. ialah syarikat pengeluar kanta sentuh antarabangsa yang berpangkalan di Taiwan.

Menurut wakil syarikat daripada Menicon Malaysia Sdn. Bhd., Puan Jess Ooi kemerosotan tahap penglihatan adalah disebabkan oleh penyakit keratokonus dan boleh menjejaskan kualiti kehidupan pesakit, maka pengetahuan tentang teknologi rawatan keratokonus adalah sangat penting dan pemasangan kanta sentuh khas yang baik mampu membantu penglihatan pesakit serta mengawal kemerosotan kornea akibat penyakit tersebut.

Wakil syarikat daripada Menicon Malaysia Sdn. Bhd., Puan Jess Ooi berkongsikan ilmu berkenaan dengan kanta sentuh kepada para peserta.
Optometris daripada Brighten Optix Malaysia Sdn. Bhd., Encik Jerry ketika menyampaikan sesi perkongsiannya.

“Bengkel sebegini sangat bermanfaat untuk pengamal optometris agar sentiasa mengemas kini pengetahuan masing-masing seiring dengan perkembangan teknologi semasa,” ulas salah seorang peserta bengkel tersebut merangkap pemilik syarikat Millenium Vision Optometrist yang berpengalaman sebagai optometris lebih daripada 20 tahun, Encik Junaidi Ayob.

Pemilik syarikat Millenium Vision Optometrist, Encik Junaidi Ayob.
Sesi demonstrasi pemasangan kanta sentuh jenis Rose-K XL oleh Puan Jess Ooi.
Kanta sentuh khas yang telah dipakaikan kepada pesakit perlu diperiksa di bawah lampu biomikroskopi untuk meneliti kesesuaiannya dengan mata pesakit.
Ahli jawatankuasa penganjur Bengkel Pengurusan Keratokonus bersama-sama wakil industri. Dari kiri: Puan Siti Hanisah, Puan Adibah Yahaya, Encik Mohd Norhafizun, Encik Fadzil (wakil syarikat daripada Mandarin Opto-Medic), Puan Jess Ooi, YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin, Encik Jerry, Puan Norlaili Arif dan Puan Nurul Ashikin.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.