Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 474 produk, teknologi dan perkhidmatan melalui program Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) telah berjaya dikomersialkan sepanjang tahun 2016 hingga tahun 2022 dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dimaklumkan bahawa nilai hasil pengkomersialan yang telah berjaya dihasilkan adalah melebihi RM540 juta.
Selain itu, penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai yang diterajui oleh MOSTI turut berjaya menjana pulangan pelaburan dan perniagaan bernilai lebih daripada sembilan bilion.
MCY merupakan platform bagi mengiktiraf usahawan teknologi tempatan terhadap kejayaan mereka dalam mengkomersialkan produk hasil penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) ke pasaran tempatan dan antarabangsa.
Memasuki tahun ketujuh pelaksanaannya, MCY turut memasuki tahun ketiga fasa MCY 3.0 yang bertemakan “MCY Goes Global”, yakni satu inisiatif pengkomersialan hasil R&D&I tempatan ke peringkat global.
Sidang Kemuncak MCY 2023 yang bertemakan “Supercharge Your Way to Impact” yang berlangsung di Connexion Bangsar South, Kuala Lumpur itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut melancarkan Malaysia Technology Commercialisation Platform (MATCH), iaitu satu platform inovasi pengewangan yang akan menghubungkan dan menawarkan penyelesaian yang menguntungkan pembekal teknologi dan pencari teknologi, membuka pintu kepada penyedia dan pencari teknologi untuk berhubung dan bertukar ilmu serta kepakaran bagi mempercepat proses komersialisasi teknologi di Malaysia.
Beliau juga menyampaikan Anugerah MCY kepada 10 orang usahawan teknologi tempatan sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan yang diperoleh sepanjang tahun 2022.
Pada masa yang sama, beliau turut berkesempatan menyaksikan pertukaran tiga memorandum persefahaman (MoU), iaitu antara Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) dengan AstraZeneca Malaysia, MRANTI dengan Eastern Academic Health Science Network (EAHSN), United Kingdom dan Fuciphagus Agritech Sdn. Bhd. dengan Eu Yan Sang serta satu memorandum perjanjian (MoA) antara Free The Seed Sdn. Bhd. dengan Nissho Precision (Malaysia) Sdn. Bhd.