Diterbitkan pada 3 Ogos 2023, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekali lagi mengharumkan nama negara menerusi penganjuran Persidangan Antarabangsa Pelajar Sarjana Muda Dietetik Klinikal 2023 yang berlangsung pada 1 0gos 2023 hingga 2 Ogos 2023 secara dalam talian.

Persidangan antarabangsa kali ketiga itu berjaya dilaksanakan hasil kolaborasi antara UKM dengan Universitas Gadjah Mada, Indonesia, Politeknik Kesehatan Kemenkes Semarang, Indonesia dan University of Santo Tomas, Filipina.

Program tersebut bertujuan menyediakan platform bagi mahasiswa program Dietetik tahun akhir untuk membentangkan hasil kajian kes klinikal dan projek penyelidikan dietetik serta mewujudkan jaringan hubungan antarabangsa sesama pelajar antara universiti.

“Saya berasa teruja dengan kejayaan penganjuran program seumpama ini yang dapat memberikan impak yang ketara kepada komuniti tertentu selaras dengan peningkatan penyakit berjangkit yang semakin membelenggu kehidupan masyarakat,” kata Dekan Fakulti Sains Kesihatan merangkap pensyarah program Dietetik, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar.

Bertemakan “Rawatan dan Pengurusan Pemakanan bagi Penyakit Tidak Berjangkit”, program berkenaan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 110 orang pelajar daripada universiti tempatan dan luar negara.

Peserta Program Persidangan Antarabangsa Pelajar Sarjana Muda Dietetik Klinikal 2023 yang melibatkan pelajar daripada Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Program ini amat bermanfaat dan saya sangat mengalu-alukan penyertaan yang lebih banyak daripada pelajar Program Dietetik di seluruh negara dan antarabangsa untuk bersama-sama menambahkan ilmu pengetahuan sekali gus menaikkan kerjaya dietetik di seluruh dunia,” ujar Timbalan Pengerusi Malaysian Dietitians’ Association, YBrs. Profesor Dr. Winnie Chee Siew Swee ketika berucap dalam program tersebut.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program berlangsung termasuklah pembentangan hasil kajian klinikal yang meliputi kes pesakit di dalam wad, pesakit di luar wad dan hasil penyelidikan yang melibatkan sebanyak 28 orang pembentang serta pertandingan pembentangan poster yang membabitkan sejumlah 48 penyertaan.

Sesi pembentangan dalam Program Persidangan Antarabangsa Pelajar Sarjana Muda Dietetik Klinikal 2023.

Munurut Penasihat Program Persidangan Antarabangsa Pelajar Sarjana Muda Dietetik Klinikal 2023 ini, YBrs. Dr. Munirah Ismail, objektif program tersebut adalah untuk memberikan pendedahan dan peluang kepada para pelajar untuk berkongsikan ilmu yang telah dipelajari semasa latihan pengurusan kes klinikal, di samping membina hubungan yang baik antara pelajar Program Dietetik daripada pelbagai universiti tempatan ataupun antarabangsa serta program seumpama ini diharapkan memberikan impak positif kepada pelajar dalam menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang dietetik.

Sementara itu, peserta juga berkesempatan mendengar perkongsian syarahan pleno bertajuk Pengurusan Diabetes Melitus dalam Kalangan Kanak-kanak dan Remaja oleh YBrs. Dr. Rokiah Ismail daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya serta syarahan pleno bertajuk Pengurusan Hipertensi dan Strategi Pengurangan Garam oleh YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar daripada UKM.

Tidak ketinggalan, terdapat juga sesi interaksi santai secara dalam talian antara pelajar yang terlibat dalam program berkenaan menerusi perkongsian kebudayaan yang terdapat di negara masing-masing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi