2 Ogos 2023, 23:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Buku Hala Tuju Baharu Pengurusan Tanah Persekutuan (HTPTP) 2021-2030 yang merupakan dasar berhubung tatakelola yang mencakupi tiga teras, iaitu perolehan, pengurusan dan pelupusan tanah persekutuan telah dilancarkan dalam Majlis Perasmian Hari Tanah Negara Ketujuh Tahun 2023 di Hotel Marriot, Putrajaya, hari ini.

Buku tersebut memfokuskan penambahbaikan tadbir urus yang merangkumi aspek perundangan, modal insan, kerjasama strategik, integriti, teknologi maklumat dan komunikasi serta peranan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang boleh dijadikan panduan kepada pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam aspek pengurusan tanah Persekutuan.

“Amalan baik berkaitan dengan Pendaftaran Pindah Milik Tanah (PMT) Satu Hari telah mewujudkan tatakelola yang menyokong kepada pasaran harta tanah dan membantu pertumbuhan ekonomi negara,” kata Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Huang Tiong Sii dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, aspek pentadbiran tanah memfokuskan keupayaan sistem dan tadbir urus yang baik, misalnya menerusi perluasan sistem e-tanah ke seluruh negara telah berjaya memberikan impak kepada peningkatan penggunaan urusan secara dalam talian.

Tambah beliau, kepelbagaian manfaat penggunaan sistem e-tanah tersebut telah meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri dan proses kerja yang ditambah baik juga memberikan kesan kepada kepantasan dalam memproses sesuatu urusan.

Mengulas dengan lebih lanjut, kutipan hasil bagi tempoh lima tahun bermula dari tahun 2018 hingga tahun 2022 sahaja telah mencapai jumlah melebihi tiga bilion menerusi pelaksanaan e-tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pada tahun 2022, sebanyak 293 690 (90.08 peratus) daripada jumlah urus niaga hartanah yang menjana kira-kira 326 047 perserahan pindah milik tanah di pejabat tanah seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak telah berjaya didaftarkan dalam tempoh satu hari sekali gus membuktikan hasil komitmen yang berterusan telah diberikan oleh warga pentadbiran tanah di peringkat negeri.

Sementara itu, Persidangan Tanah Persekutuan yang memfokuskan pengurusan tanah persekutuan serta isu yang dihadapi semasa pelaksanaan projek pembangunan akan diadakan bersempena dengan sambutan Hari Tanah Negara tahun 2023 pada 3 Ogos 2023 dan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

Turut hadir dalam program persidangan itu nanti ialah para pegawai kanan kerajaan yang terlibat dengan projek pembangunan di peringkat Persekutuan termasuklah Pengarah-pengarah Tanah dan Galian Negeri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.