1 Ogos 2023, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dengan mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh sektor getah pada masa ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan agensi terlibat telah memperhalusi cadangan kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan bantuan lain yang bersesuaian untuk diagihkan kepada pekebun kecil getah.

Dalam usaha menangani isu kejatuhan harga getah, kenaikan IPG daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.70 sekilogram bermula Januari 2023 dapat membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dan meringankan beban mereka.

“Sejak IPG dilaksanakan pada September 2015 hingga 30 Jun 2023, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM457 526 196 juta bagi pembayaran IPG sekali gus membuktikan bahawa kerajaan amat prihatin dan sentiasa berusaha bagi membantu pekebun kecil getah dari semasa ke semasa,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi.

Selain itu, sebarang aktiviti urus niaga getah serta sebagai syarat untuk pemberian insentif dan bantuan, pekebun kecil getah disyaratkan untuk memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) yang dikeluarkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) secara percuma.

LGM juga telah mewajibkan penggunaan sistem RRIMNiaga kepada pelesen getah bagi memudahkan urus niaga pada peringkat pekebun kecil getah dan segala rekod transaksi urus niaga lebih telus serta proses penyaluran bantuan adalah lebih mudah kerana dapat dilakukan secara automatik dan seterusnya membolehkan pembayaran insentif disalurkan terus kepada akaun bank penerima.

Sementara itu, Insentif Pengeluaran Lateks (IPL), Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dan pelaksanaan MyRol turut diperkenalkan oleh KPK melalui LGM bagi membantu pekebun kecil getah meningkatkan pendapatan masing-masing.

Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk penghasilan pelbagai klon getah yang berkualiti tinggi bagi meningkatkan produktiviti dan automasi dalam sektor huluan industri getah serta kajian yang terperinci dalam sektor hiliran, khususnya penghasilan produk berasaskan getah yang bernilai tambah turut digalakkan untuk dilaksanakan.

Kerajaan amat menggalakkan pekebun kecil getah agar segera berdaftar dengan LGM melalui PAT-G bagi menikmati insentif dan bantuan yang diberikan oleh kerajaan.

Hal ini jelaslah bahawa kerajaan amat prihatin akan isu kejatuhan harga getah dan sentiasa proaktif dalam memastikan pelbagai aktiviti yang bersesuaian dilaksanakan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pekebun kecil getah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.