1 Ogos 2023, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kepala Batas – Kolej Komuniti Kepala Batas (KKKB) yang mencalonkan produk An Auto SS dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Pertandingan MYPOLYCC Komersial (POLYCCOM’23) Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Pusat Penyelidikan dan Inovasi dengan kerjasama KKKB.

Produk An Auto SS ialah produk sistem keselamatan kenderaan bagi mengelakkan kematian mengejut akibat kebocoran gas karbon monoksida, pencegahan kecurian kenderaan dan kawalan pemandu mabuk yang telah berjaya dipertandingkan di beberapa pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta telah dipasarkan kepada pengguna sebelum ini.

“JPPKK sentiasa berusaha untuk memperkasakan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan melalui permohonan peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 sebanyak RM8.7 juta bagi tahun 2024 hingga tahun 2025 dengan RM2.7 juta daripada jumlah tersebut dikhususkan untuk program pengkomersialan,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Ts. Haji Muhamad Rumzi Mamat dalam satu kenyataan.

Dalam pertandingan tersebut, sebanyak 47 produk telah dipertandingkan bagi lapan kategori, iaitu Peralatan, Mesin, Pembinaan dan Bahan, Teknologi Makanan, Reka Bentuk Seni dan Kreatif, Pengajaran dan Pembelajaran, Multimedia dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Elektrik dan Elektronik, Teknologi Industri dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) serta Produk hijau, Pertanian dan Alam Sekitar.

Dari segi anugerah pula, pertandingan berkenaan dibahagikan kepada empat anugerah, yakni Produk Berpotensi untuk Komersial (Kategori Teknikal), Produk Berpotensi untuk Komersial (Kategori Bukan Teknikal), Pengkomersialan Terbaik dan Juara Keseluruhan Terbaik.

Menurut Ts. Haji Muhamad Rumzi Mamat, Innovation and Commercialization (ICC) yang beroperasi di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor telah ditubuhkan oleh JPPKK dan berfungsi sebagai pameran produk, rujukan dan latihan.

Tambah beliau, JPPKK juga menerima peruntukan sebanyak RM200 ribu untuk pelaksanaan program pengkomersialan pada tahun 2022 dan enam produk telah berjaya dikomersialkan dengan menggunakan peruntukan tersebut.

Berpandukan Pelan Strategik Pengkomersialan Politeknik dan Kolej Komuniti 2021-2028, kini kita berada pada Fasa Kedua, iaitu Fasa Pembudayaan Pengkomersialan yang bermula pada tahun ini dan berakhir pada tahun hadapan, manakala akan beralih ke Fasa Peningkatan pada tahun 2025 hingga tahun 2026 dan seterusnya ke Fasa Pemerkasaan dan Kecemerlangan pada tahun 2027 hingga tahun 2028.

Jelas beliau, pereka cipta perlu meletakkan produk masing-masing pada kedudukan yang membolehkan produk mereka berada dalam pasaran global secara terampil dan mendapat perlindungan hak cipta yang sempurna agar kewujudannya disedari dan dapat dimanfaatkan oleh pengguna.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Kepala Batas, Ts. Jasni Mohd Yusoff menyatakan bahawa pertandingan yang diadakan itu ialah platform bagi mendapatkan pengiktirafan terhadap produk inovasi yang telah dipaten dan dikomersialkan.

Ujar beliau, pereka cipta boleh memohon dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan produk inovasi yang dipertandingkan sekali gus memberikan peluang fungsi produk itu dikembangkan menggunakan penerapan teknologi terkini dengan adanya perolehan dana R&D tersebut dan seterusnya dikomersialkan hingga peringkat antarabangsa dan global.

Turut hadir dalam majlis perasmian penutup pertandingan tersebut ialah Pengarah Pusat Penyelidikan dan Inovasi, JPPKK, YBrs. Dr. Riam a/p Chau Mai, Pengerusi Zon PolyCC Malaysia serta Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Pulau Pinang.

SENARAI PEMENANG POLYCCOM’23

ANUGERAH PEMENANG PRODUK
Anugerah Produk Berpotensi Komersial (Teknikal) Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah

 

Inkubator Penetas Telur Unggas IKS

 

Anugerah Produk Berpotensi Komersial (Bukan Teknikal) Politeknik Kuching Sarawak

 

MIKRAJ – Israk Mikraj Education Board Game
Produk Pengkomersialan Terbaik

 

Kolej Komuniti Sungai Petani

 

Sambal Teruna Berapi

 

Produk Pengkomersialan Terbaik Langkawi Tourism Academy @ Kolej Komuniti Langkawi

 

Gulai Daging Batang Pisang
Produk Pengkomersialan Terbaik Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah

 

Sistem Pertanian Jimat Tenaga (SPJT)

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.