1 Ogos 2023, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa Satu yang dijangkakan siap sepenuhnya pada 13 Ogos 2024 sebagai satu daripada usaha untuk menyelesaikan masalah banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang.

Dalam satu kenyataan, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan bahawa projek tersebut dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM656 juta.

Projek PLSB pada peringkat Fasa Satu berkenaan melibatkan empat skop utama, iaitu pembinaan Ban Banjir Sungai Golok (26.2 kilometer), Ban Banjir Sungai Lanchang Lemal (19.84 kilometer), Kuala Jambu Outlet Gate dan Ban Sungai Mentua.

Menurut beliau, projek tersebut dijangkakan dapat mengurangkan risiko banjir dengan pembinaan infrastruktur tebatan banjir, di samping mengekalkan kedalaman minimum laluan pelayaran sedalam tiga meter di muara Sungai Golok bagi tujuan laluan bot dan melindungi muara Sungai Golok daripada risiko banjir pantai.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa tindakan jangka masa panjang pembinaan infrastruktur perlindungan banjir bagi kawasan lembangan Sungai Golok akan diatasi melalui Projek PLSB Sungai Golok Fasa Dua yang akan memberikan tumpuan kepada kawasan di sepanjang Sungai Golok, khususnya Rantau Panjang dan kawasan penempatan di sebelah kiri Sungai Lanchang Lemal.

Tambah beliau lagi, Projek PLSB Sungai Golok Fasa Tiga pula akan melengkapkan keseluruhan sistem tebatan banjir bagi lembangan Sungai Golok.

Pelantikan kontraktor untuk Projek PLSB Sungai Golok Fasa Dua dan Projek PLSB Sungai Golok Fasa Tiga dijangkakan dapat dilakukan pada November ini dan pelaksanaan Projek PLSB tersebut secara keseluruhannya melibatkan peruntukan berjumlah lebih daripada dua bilion yang mampu melindungi sebanyak 31 ribu orang penduduk dan kawasan sekitar seluas 66 ribu hektar daripada banjir.

Sementara itu, beliau juga menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mengambil tindakan proaktif jangka masa pendek melalui pelarasan di Kampung Tersang dengan pembinaan struktur alur limpah yang berfungsi untuk mempercepat saliran dalaman bagi mengurangkan risiko banjir dan dijangkakan siap pada Ogos ini.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan dan Perubahan Iklim (NRECC) sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan Projek PLSB Sungai Golok dapat dilaksanakan dengan jayanya bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta peningkatan ekonomi negeri Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.