29 Julai 2023, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Semua kilang ais yang beroperasi atau menyediakan ais bagi tujuan perniagaan perlu mendapatkan pelesenan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 394A (4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) KKM, Ts. Norrani Eksan menyatakan bahawa pemeriksaan terhadap kilang akan dijalankan dan pensampelan air dan ais akan dilakukan bagi memastikan sumber air yang digunakan serta ais yang dihasilkan adalah selamat dalam syarat dan proses mendapatkan lesen.

Kilang ais juga wajib menjalankan pemantauan sendiri sekurang-kurangnya sekali setahun dan tindakan penggantungan lesen boleh diambil sekiranya pihak kilang gagal untuk menjalankan pemantauan sendiri.

Menurut beliau. KKM juga akan mengenal pasti mana-mana pengilang ais yang tidak berlesen dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya didapati beroperasi tanpa lesen atau tidak mematuhi keperluan yang ditetapkan.

Tambah beliau lagi, pemilik kilang ais yang beroperasi tanpa lesen daripada KKM boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan, iaitu denda tidak melebihi RM10 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Sebanyak 155 pemeriksaan kilang ais telah dijalankan dan 17 kilang ais sudah diambil tindakan penguatkuasaan, termasuklah sembilan kilang ais tidak berlesen pada tahun 2022.

Selain itu, sebanyak 18 pemeriksaan kilang ais telah dijalankan dan empat kilang ais juga sudah diambil tindakan penguatkuasaan termasuklah sebuah kilang ais yang didapati tidak berlesen bagi tempoh Januari 2023 hingga Jun 2023.

Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 993 sampel ais bagi tujuan pemantauan telah diambil dan sebanyak 80 sampel (lapan peratus) didapati melanggar peraturan sepanjang tahun 2022 hingga Jun 2023.

Pengguna juga dinasihatkan untuk membeli ais daripada kilang yang telah dilesenkan dengan mendapatkan maklumat tersebut melalui laman sesawang BKKM.

Pihak yang mempunyai maklumat berkenaan dengan kilang ais yang beroperasi dalam keadaan kotor hendaklah membuat laporan berserta maklumat terperinci termasuklah lokasi dan nama kilang tersebut kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri yang berhampiran serta aduan boleh disalurkan melalui laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam KKM atau Facebook rasmi BKKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.