27 Julai 2023, 17:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Peranan dan sumbangan warga pentadbiran tanah adalah amat penting sebagai pemudah cara bagi urusan yang berkaitan dengannya dan seterusnya membantu memacu pertumbuhan ekonomi serta mencapai kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Hal ini dapat dilihat melalui pelaksanaan infrastruktur yang berimpak tinggi seperti projek East Coast Rail Link (ECRL), Lebuh Raya Pan Borneo dan tapak kemudahan awam termasuklah sekolah dan hospital yang melibatkan urusan pengambilan tanah.

“Dari aspek peningkatan kecekapan Pejabat Tanah di Semenanjung Malaysia, saya berbangga dengan pencapaian sebanyak 90.08 peratus urusan serahan pindah milik tanah telah berjaya didaftarkan dalam tempoh satu hari pada tahun lalu,” kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, peluasan projek e-Tanah di pelbagai negeri dapat meningkatkan keberkesanan urusan lain berkaitan dengan tanah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan pada peringkat negeri khususnya untuk jangka masa panjang.

Selaras dengan tema sambutan Hari Tanah Negara 2023, iaitu “Pentadbiran Tanah Pemacu Kemakmuran Malaysia MADANI”, sumbangan yang diberikan oleh warga pentadbiran tanah telah membentuk momentum perubahan yang dirasai oleh rakyat Malaysia.

Bagi meraikan dan menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah di seluruh Malaysia, Hari Tanah Negara disambut pada 27 Julai setiap tahun dalam memastikan pentadbiran tanah sentiasa relevan dan selari dengan arus perdana pembangunan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.