25 Julai 2023, 17:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Melaka – Majlis penutupan Young Stemist Expo @ KASTURI 2023 telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hang Kasturi yang bertujuan menonjolkan bakat dan kreativiti pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi hasil inovasi yang dipamerkan dalam program tersebut.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini dan InoMa akan sentiasa menyokong dan memperluas lagi platform inovasi seumpama ini bagi membolehkan generasi muda mengembangkan bakat dan memberikan sumbangan kepada pembangunan negara,” kata Presiden Persatuan Gerak Inovasi Malaysia (InoMa), YBhg. Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah ketika merasmikan program Young Stemist Expo @ KASTURI 2023.

Dengan matlamat untuk memajukan sains dan teknologi di negara ini, pameran tersebut telah menarik minat dan mendapat sokongan daripada pelbagai agensi dan kementerian sekali gus mendorong pelajar daripada Agensi Nuklear Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Kolej Komuniti Masjid Tanah, Jabatan Kimia Malaysia (Cawangan Melaka), Ez Cute Robots Sdn. Bhd., HSO Masjid Tanah serta Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil bahagian dalam program tersebut.

Sepanjang program itu berlangsung, para pengunjung berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat projek inovatif yang telah dihasilkan oleh para pelajar STEM termasuklah penemuan sains yang unik hinggalah aplikasi teknologi yang canggih.

Pameran projek inovatif yang telah dihasilkan oleh para pelajar STEM di reruai Agensi Nuklear Malaysia.

Dengan sokongan penuh daripada pihak berkuasa dan institusi pendidikan, program sebegini seharusnya diperbanyak penganjurannya agar para pelajar dapat memperlihatkan potensi dan kemampuan luar biasa dalam diri masing-masing dengan mencipta pelbagai inovasi demi kebaikan bersama.

Dalam program tersebut juga, pelbagai pertandingan telah dianjurkan, misalnya pertandingan Kidzone Robotics, Animation, Kiub Rubik, Straw Tower, Toothpick Challenge serta aktiviti memanah.

Sesi pendaftaran para peserta yang menyertai pertandingan dalam program Young Stemist Expo @ KASTURI 2023.

Penyertaan daripada beberapa buah sekolah rendah dan sekolah menengah yang berdekatan termasuklah SMK Ghafar Baba turut memeriahkan program berkenaan.

Sesi penyampaian cenderamata daripada wakil Agensi Nuklear Malaysia kepada Pengetua SMK Hang kasturi.

Program Young Stemist Expo @ KASTURI diharapkan terus menjadi platform untuk memupuk dan mewujudkan bakat cemerlang dalam kalangan pelajar STEM sekali gus mendorong generasi muda untuk menyertai arena sains dan teknologi demi masa hadapan negara yang lebih baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.