25 Julai 2023, 22:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023 yang diadakan secara dalam talian bertujuan melonjakkan hasil pembangunan dan inovasi termasuklah dana, khidmat nasihat, bantuan pemasaran dan bantuan teknologi yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia yang berminat.

Bertemakan “MCY Goes Global”, MCY 2023 menyasarkan untuk membantu produk yang dihasilkan oleh inovator bagi memasarkan produk mereka pada peringkat global.

“Proses pengkomersialan merupakan proses yang mencabar bagi para penyelidik kerana mereka perlu mengumpulkan idea, bukti konsep, prototaip, prapengkomersialan dan seterusnya pengkomersialan yang berkemungkinan menyebabkan kegagalan disebabkan oleh faktor kewangan, persaingan dengan produk sedia ada dalam pasaran, pematuhan kawal selia atau pertikaian hal intelektual,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang selaku tetamu undangan dalam program Malaysia Petang Ini anjuran BERNAMA TV.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang (kanan) ketika mengulas mengenai program MCY 2023 dalam program Malaysia Petang Ini anjuran BERNAMA TV.

Oleh hal yang demikian, beliau menyatakan bahawa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertanggungjawab membantu memastikan institusi penyelidikan melalui semua proses pengkomersialan dan berperanan melaksanakan aktiviti pengujian agar kesemua produk yang dihasilkan mematuhi keberkesanan dan fungsi.

Menurut beliau lagi, MOSTI turut membantu memastikan produk yang dihasilkan melalui proses pengkomersialan dan mematuhi peraturan yang sedia ada, membantu mendaftar dan menggunakan harta intelek sebelum dipasarkan ke pasaran global serta proses pensijilan turut dilaksanakan agar produk tersebut mendapat pengiktirafan dan kredibiliti.

Untuk kesinambungan MCY dalam jangka masa panjang, MOSTI akan mengadakan kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi dan semua pemegang taruh menerusi pengukuhan pembangunan ekosistem pengkomersialan negara sebelum ke peringkat yang seterusnya.

Ujar beliau, program MOSTI yang sedia ada seperti bengkel, penyediaan dana, program latihan dan promosi kekal diteruskan bagi memastikan MCY berjalan dengan lancar.

Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam membudayakan sains dan menginsankan teknologi dalam mencapai matlamat untuk menjadi negara pengeluar teknologi menjelang tahun 2030.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa masyarakat perlu mengarusperdanakan aktiviti inovasi bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global serta mengundang sesiapa yang berkelapangan untuk hadir menyertai MCY Summit pada 3 Ogos hingga 4 Ogos 2023 dengan mendaftar di Portal MCY MOSTI.

Dalam program tersebut juga berlangsungnya pembentangan agenda digital dan teknologi, sesi dialog industri untuk pemerkasaan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi pada masa hadapan, penyampaian anugerah MCY 2022, pemeteraian memorandum persefahaman bersama-sama syarikat swasta serta sesi ucaptama dan pelancaran MCY 2023 oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.