23 Julai 2023, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pagoh – Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail (PTSN) merupakan politeknik yang terawal menerima pelajar baharu bagi program Asasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Mekanikal.

Sebanyak 70 orang pelajar telah hadir mendaftar pada sesi pendaftaran pelajar baharu bagi program berkenaan di PTSN, hari ini.

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mensasarkan sebanyak 500 orang pelajar baharu akan mendaftar dalam program Asasi TVET Sesi 1 2023/2024 di lima buah politeknik rintis hingga 26 Julai 2023.

“Program Asasi TVET yang diperkenalkan pada tahun ini oleh KPT melalui JPPKK dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) adalah wajar kerana telah menyumbang lebih 40 peratus daripada guna tenaga TVET negara sekali gus menjadi satu pencapaian yang besar dan merupakan tunjang pembangunan negara,” kata Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail ketika meninjau sekitar sesi pendaftaran pelajar baharu di PTSN.

Dalam ucapannya kepada ibu bapa pelajar yang hadir mendaftar program tersebut, beliau berkesempatan mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa kerana menyahut saranan kerajaan dengan menyokong anak-anak menyertai program Asasi TVET.

Beliau turut berkongsikan kadar kebolehpasaran graduan TVET, khususnya di politeknik dan kolej komuniti adalah melebihi 95 peratus sekali gus menunjukkan graduan yang berlatarbelakangkan TVET sangat diminati oleh pihak industri.

Dalam program tersebut juga, beliau turut menyerahkan kad pelajar kepada pelajar yang terawal mendaftar di PTSN, iaitu Puan Siti Najwa Mohd Shamsul yang telah memilih program asasi tersebut kerana tertarik dengan program yang ditawarkan dan menjadikannya sebagai pilihan utama ketika mengemukakan permohonan melalui platform UPUOnline.

“Saya berasa sangat gembira kerana menjadi pelajar pertama yang mendaftar bagi program Asasi TVET ini dan menjadi inisiatif terbaik untuk saya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta semua yang dipelajari di sini boleh digunakan semasa program ijazah pada masa akan datang,” ujar Puan Siti Najwa Mohd Shamsul.

Dalam usaha memperkasakan TVET, program Asasi TVET ialah satu daripada inisiatif terbaharu yang dilaksanakan oleh KPT sebagai persediaan khusus bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk menyambung pengajian selama setahun di mana-mana lima buah politeknik rintis dan pelajar yang berjaya menamatkan pengajian asasi ini berpeluang melanjutkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda di MTUN.

Untuk makluman, empat buah politeknik lain yang menawarkan program Asasi TVET ialah Politeknik Merlimau, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dan Politeknik Ungku Omar yang membuka sesi pendaftaran pelajar baharu pada 24 Julai 2023, manakala sesi pendaftaran pelajar baharu di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin pula dibuka pada 26 Julai 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.