Diterbitkan pada 21 Julai 2023, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Program Keterlibatan SIRIM-Industri yang dianjurkan oleh SIRIM Berhad menawarkan pelbagai aplikasi dan perkhidmatan teknologi dalam usaha meningkatkan produktiviti industri dan usahawan di Pahang.

Program tersebut ialah satu daripada inisiatif SIRIM untuk membantu perusahaan di Pahang agar terus kekal berdaya saing melalui penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan membolehkannya berkembang dengan lebih maju serta berintegriti di persada tempatan dan antarabangsa.

Program tersebut disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YBhg. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.

Bertemakan “Merapatkan SIRIM dengan Komuniti dan Industri”, program tersebut memfokuskan kepentingan penyelidikan dan pembangunan, pengurusan tenaga, kualiti, latihan, pengujian dan pensijilan.

“Dalam usaha untuk mengembangkan industri dan usahawan di Pahang, SIRIM telah melaksanakan inisiatif melalui program teknologi perindustrian dan kualiti, misalnya penggunaan teknologi termaju dalam proses reka bentuk, pengeluaran dan kejuruteraan serta khidmat nasihat teknikal,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, YBhg. Dato’ Indera Dr. Ahmad Sabirin Arshad dalam satu kenyataan.

Ujar beliau, SIRIM bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membangunkan dan mempertingkatkan taraf ekonomi usahawan asnaf dan usahawan kumpulan B40 menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat agensi itu.

Beliau juga menyatakan bahawa sebanyak 10 orang usahawan di Pahang dan 10 orang usahawan di Johor akan dibantu dalam Program Peningkatan Kualiti Persembahan Usahawan dan adanya kerjasama dengan negeri Pahang itu membolehkan lebih banyak program pembangunan usahawan yang komprehensif dapat dibangunkan agar usahawan dapat dibimbing secara sistematik.

Menurut beliau lagi, lebih daripada 3000 orang pengusaha di Pahang telah dibantu dalam pelbagai jenis perkhidmatan seperti perundingan, taklimat, seminar, pembangunan produk dan penambahbaikan proses.

Program berkenaan juga melibatkan lebih daripada 200 orang wakil daripada agensi kerajaan, persatuan industri dan usahawan tempatan pelbagai sektor termasuklah industri makanan dan minuman, industri elektrikal dan elektronik, penentukuran, teknologi maklumat, perladangan serta industri pembinaan di Pahang.

Untuk makluman, penganjuran program seumpama ini akan diteruskan lagi di Selangor, Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi