Diterbitkan pada 21 Julai 2023, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Rundingan mengenai penyertaan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) dan perjanjian akses 5G bersama-sama DNB telah berjaya mencapai persetujuan oleh Pasukan Petugas Pelaksanaan Dwirangkaian 5G Malaysia yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), pihak CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan proses pemegangan saham dalam DNB dan seterusnya menyokong pembangunan rangkaian 5G oleh DNB hingga mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini sebelum beralih kepada model dwirangkaian seawal Januari 2024.

Setakat 30 Jun 2023,  infrastruktur rangkaian 5G telah dibangunkan oleh DNB, iaitu meliputi 64.7 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan berada pada landasan yang tepat bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Pihak Maxis telah memulakan proses untuk menandatangani perjanjian akses 5G bersama-sama DNB setelah beberapa isu berkaitan dengan perkara tersebut dimuktamadkan pada 11 Julai 2023.

Perkhidmatan 5G dapat dinikmati oleh pelanggan Maxis setelah mendapat kelulusan daripada pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada bulan hadapan.

Sementara itu, pihak CelcomDigi, Telekom Malaysia, U-Mobile dan YTL Communications pula telah menawarkan perkhidmatan 5G selepas menandatangani perjanjian akses 5G dengan DNB sejak tahun lalu.

KKD akan sentiasa memastikan aspirasi kerajaan dapat direalisasikan dengan kerjasama daripada semua pihak melalui proses yang inklusif, telus dan terangkum demi menjamin kualiti perkhidmatan yang terbaik untuk masyarakat Malaysia MADANI.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi