20 Julai 2023, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Linggi – Dalam usaha memastikan kelestarian alam sekitar terus terjaga dan terpelihara, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia telah mengadakan aktiviti pembersihan pantai di sepanjang Pantai Tanjung Serai, semalam.

Aktiviti pembersihan pantai yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara keindahan pantai itu telah disertai oleh 15 orang pelajar Bishop’s Hatfield Girls’ School, United Kingdom bersempena dengan program World Challenge Expedition 2023.

Peserta program saling bekerjasama mengumpulkan sampah yang akan dikitar semula.

“Aktiviti tersebut merupakan usaha yang dilakukan bagi menggalakkan dan menjamin kelestarian aktiviti penyu bertelur di sepanjang pesisir pantai berkenaan yang menjadi satu daripada lokasi pendaratan spesies penyu karah yang utama di Melaka,” kata Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Encik Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Beliau turut menyatakan bahawa SWM Environment berasa sangat berbesar hati menerima undangan daripada WWF Malaysia untuk menjayakan program yang bermanfaat seumpama ini sebagai tanda sokongan kepada usaha dalam menjaga kelestarian alam, terutamanya bagi melindungi spesies penyu.

Antara peserta program yang terdiri daripada pelajar Bishop’s Hatfield Girls’ School, United Kingdom yang menyertai aktiviti pembersihan pantai di sepanjang Pantai Tanjung Serai.

Selain menyediakan peralatan aktiviti kepada para peserta, terdapat juga sesi penerangan mengenai janaan sisa dan pengasingan sisa di bawah program kitar semula bermata ganjaran KITARecycle.

Tambah Encik Mohd Norlisam Mohd Nordin, program yang bermanfaat ini diharapkan dapat membuka mata dan memberikan kesedaran tentang kepentingan memelihara kelestarian alam yang secara tidak langsung dapat membantu melindungi spesies haiwan yang kian pupus daripada terus terancam.

Peserta program sedang mencari bahan plastik untuk dikumpulkan dan dikitar semula.

Ujar beliau lagi, aktiviti pembersihan pantai tersebut akan diteruskan bagi siri kedua yang akan diadakan di Pantai Tanjung Meriam Patah pada 22 Julai 2023 dengan melibatkan sebanyak 13 orang pelajar daripada sekolah yang sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.