Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Sesi libat urus bersama-sama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Orang Kurang Upaya (OKU) yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah untuk mendapatkan input secara langsung daripada pihak PSK dan NGO OKU berkaitan dengan isu yang melibatkan golongan OKU sekali gus mencari penyelesaian terbaik untuk OKU.
Pertemuan yang diadakan di Dewan Perdana Nur, KPWKM itu melibatkan sebanyak 150 PSK dan NGO OKU dan menjadi wadah komunikasi dua hala antara pihak kementerian dengan kedua-dua pihak berkenaan untuk membantu meningkatkan kefahaman penyampaian perkhidmatan yang disediakan bagi melancarkan pelaksanaan pelbagai dasar serta pelan tindakan KPWKM.
Berdasarkan statistik pendaftaran OKU yang direkodkan melalui Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) JKM hingga akhir Jun 2023, bilangan OKU yang berdaftar adalah sebanyak 657 904 orang, iaitu 430 345 orang (65.4 peratus) terdiri daripada OKU lelaki, manakala 227 559 orang (34.6 peratus) ialah OKU perempuan.
Daripada jumlah OKU yang berdaftar itu, sejumlah 245 916 orang (37.3 peratus) merupakan OKU pembelajaran sekali gus mencatatkan bilangan yang tertinggi diikuti dengan OKU fizikal, iaitu 225 040 orang.
Selain memastikan pembangunan dan pemerkasaan OKU, KPWKM komited dalam meningkatkan kesejahteraan dan melindungi serta menjaga kebajikan OKU selaras dengan rukun ihsan, iaitu sifat ambil berat dan peduli selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff dan Ketua Pengarah Kebajikan Malaysia, Encik Norazman Othman.