Oleh Rafizan Ab Aziz
17 Julai 2023, 16:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban – Sebanyak 120 orang pelajar Tingkatan Dua daripada Sekolah Menengah Sains Tuanku Munawir (SASER) mendapat pengiktirafan dengan memperoleh Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) Tahap Gangsa bagi sekolah berasrama penuh (SBP) dalam Malaysia di bawah naungan badan operasi Persatuan Belia Dinamik Barat (PBDB) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

SASER ialah satu daripada SBP di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang pertama di Negeri Sembilan yang berjaya melahirkan sebanyak 120 orang peserta ARPRM di bawah pimpinan PBDB, yakni sebuah badan operasi yang telah menerima anugerah lima bintang daripada KBS.

Sebanyak 120 orang pelajar SASER dan 10 orang pemimpin daripada PBDB telah menerima Sijil Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (Tahap Gangsa) 2023.

Program pengiktirafan tersebut telah dirasmikan oleh Mantan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan, Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Haji Zaifulbahri Haji Idris.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan, Negeri Sembilan, YBhg. Dato’ Haji Zaifulbahri Haji Idris (kiri) bersama-sama Pengerusi Saserana 2226, Encik Norizan Hairan (tengah) melihat pameran yang terdapat dalam program ARPRM dan disaksikan oleh Penasihat Persatuan Belia Dinamik Barat, Encik Zaharuddin Abd Majid (kanan).

Program ARPRM telah dianjurkan di Malaysia sejak tahun 1992 dan merupakan program yang diadaptasikan daripada The Duke of Edinburgh’s International Award in Malaysia yang tertumpu kepada pembangunan potensi remaja, khususnya bagi pelajar berumur 14 tahun hingga 24 tahun.

Komponen pendidikan tidak formal seperti khidmat masyarakat, kemahiran, rekreasi fizikal dan penjelajahan lasak yang diterapkan dalam program berkenaan memainkan peranan yang penting dalam membentuk jati diri, kepimpinan, kesukarelawanan, kemahiran diri dan sebagainya.

Simbolik serahan diari Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (Tahap Perak) yang akan dilaksanakan bermula Ogos 2023 hingga Februari 2024.

Kejayaan program ARPRM yang dilaksanakan ialah hasil gabungan tenaga antara Kumpulan Sarana Ibu Bapa SASER 2022/2026 (Saserana 2226) dengan pelbagai badan operasi dan KBS yang sentiasa memberikan sokongan.

Sijil Pentauliahan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (Tahap Gangsa) 2023.

Pelibatan SASER diharapkan dapat menjadi contoh kepada semua SBP, sekolah lain di Negeri Sembilan dan seterusnya dapat melahirkan pelajar yang cemerlang, gemilang serta menjadi peneraju kepada pembangunan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.