Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Program lawatan selama dua hari ini diharapkan menjadi medan pertukaran ilmu antara pelajar Australian National University (ANU) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang merangkumi perkembangan bidang kesihatan persekitaran dan budaya di Australia dan Malaysia.”
Demikian harapan Pengerusi bagi program lawatan daripada pelajar College of Health and Medicine, ANU ke Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri (KPKI), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM, Dr. Siti Shahara Zulfakar bersempena dengan Program Malaysia Summer Camp 2023: Understanding Health Hazards anjuran Malaysian Association of Environmental Health (MAEH) bersama-sama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), UKM dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM).
Delegasi ANU yang terdiri daripada dua pensyarah dan 23 pelajar ini adalah untuk menyertai beberapa aktiviti yang telah dianjurkan oleh pihak program KPKI seperti Penerokaan Kesihatan Persekitaran, persampelan sampel air di Sungai Kedondong, Selangor, penentuan Citizen Qualitative Habitat Evaluation Index (CQHEI) dan Indeks Kualiti Air Biologi (IKAB).
Dalam majlis yang sama, Timbalan Dekan Prasiswazah, FSK, UKM, Profesor Madya Dr. Akmal Sabarudin telah menyampaikan maklumat yang berkaitan dengan program yang telah ditawarkan oleh Fakulti Sains Kesihatan kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.
Ketua Program KPKI, Dr. Nurul Farahana Kamaludin pula memberikan penerangan lanjut mengenai program pengajian yang ditawarkan di bawah program KPKI, iaitu Ijazah Sarjana Muda Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan (Kepujian) serta peluang pengajian pascasiswazah secara penyelidikan dengan pengkhususan dalam bidang kesihatan persekitaran, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta bidang toksikologi.
“Pihak FSK dan program KPKI amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dengan pihak ANU, termasuklah program mobiliti pelajar prasiswazah dan kolaborasi projek penyelidikan,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, menurut Pensyarah College of Health and Medicine, ANU, Dr. Andrew Mathieson, beliau amat berbesar hati dapat mengadakan jaringan dengan UKM bersempena dengan Malaysia Summer Camp 2023.
Dalam lawatan ini juga, Pensyarah Program KPKI, Dr. Mohd Sham Othman memberikan taklimat mengenai kaedah melakukan persampelan ekologi yang akan dijalankan di Taman Rekreasi Sungai Kedondong menggunakan kaedah piawai bagi menentukan CQHEI dan BWQI dengan menggunakan formula yang telah ditetapkan.
Pada hari kedua program ini, pelajar ANU telah dibawa ke Hutan Rekreasi Sungai Kedondong bagi melakukan pensampelan ekologi untuk menentukan IKAB selain diberi tunjuk ajar untuk menggunakan beberapa peralatan yang sesuai bagi melakukan pensampelan tersebut.
Pelajar ANU bersama-sama pelajar UKM juga berpeluang melakukan penilaian habitat di taman rekreasi tersebut melalui penentuan CQHEI.