14 Julai 2023, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Hingga 6 Julai 2023, sebanyak satu juta penerima Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang layak telah menjalani saringan penyakit tidak berjangkit (NCD) bagi menyahut Agenda Nasional Malaysia Sihat yang menggalakkan saringan kesihatan dalam kalangan penduduk di negara ini.

Saringan kesihatan percuma yang diberikan sejak dilancarkan pada April 2019 itu telah memberikan manfaat kepada satu juta orang di bawah kumpulan B40 dengan pengesanan awal NCD dan faktor risikonya seperti kencing manis, tekanan darah tinggi. paras kolesterol tinggi dalam darah, obesiti, kemurungan, kerisauan dan kanser.

“Sebanyak 400 ribu orang (40 peratus) daripada golongan tersebut telah mengetahui tentang penyakit senyap ini dan telah dirujuk untuk mendapatkan rawatan selanjutnya bagi mencegah komplikasi yang lebih serius,” kata Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.

Menerusi skim di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini, penerima manfaat yang layak ditawarkan dengan empat keistimewaan, iaitu mendapat saringan kesihatan percuma di klinik swasta yang berdaftar untuk program PeKa B40 dan di klinik kesihatan KKM, menerima bantuan kesihatan yang merupakan 10 kategori peralatan perubatan percuma hingga RM20 ribu sepanjang hayat, memperoleh Insentif Penyelesaian Rawatan Kanser bernilai RM1000 dan Insentif Pengangkutan, yakni kos pengangkutan bernilai RM500 (Semenanjung Malaysia) atau RM1000 (Sabah dan Sarawak) semasa menerima rawatan perubatan tertentu.

Setakat ini, lebih daripada 50 ribu orang penerima manfaat PeKa B40 telah menerima 60 ribu peralatan kesihatan percuma bernilai RM110 juta sejak skim tersebut diperkenalkan, manakala sebanyak 7000 orang penerima manfaat skim berkenaan juga telah menerima Insentif Penyelesajan Rawatan Kanser dan 12 ribu orang penerima PeKa B40 menerima Insentif Pengangkutan.

PeKa B40 yang melibatkan 3100 buah klinik GP, 990 buah klinik kesihatan, 170 buah makmal swasta dan 140 buah hospital KKM telah memberikan manfaat, khususnya kepada golongan B40.

Sejumlah 57 juta orang penerima yang layak dan belum mendapatkan manfaat PeKa B40 dinasihatkan agar hadir ke salah satu daripada mana-mana 4000 klinik GP atau klinik kesihatan yang berhampiran di seluruh negara bagi menjalani saringan, memahami status kesihatan dan mendapatkan nasihat profesional daripada doktor tentang cara menjaga dan meningkatkan gaya hidup sihat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.