13 Julai 2023, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Susulan pelantikan Mohd Hareeff Muhammed sebagai Profesor Adjung di Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sesi perbincangan khas telah diadakan bagi memperkembang dan memperkasa penyelidik ke arah berpusatkan industri (industry centric) dalam meningkatkan jaringan penyelidikan, hari ini.

Sesi perbincangan takwim dan perancangan aktiviti sepanjang tempoh pelantikan Mohd Hareeff Muhammed sebagai Profesor Adjung.

Sebelum ini, Majlis Penyerahan Surat Pelantikan sebagai Profesor Adjung telah diadakan pada 5 Julai 2023 lalu yang disampaikan oleh Naib Canselor UKM, YBhg. Profesor Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Haji Toriman kepada Mohd Hareeff Muhammed dengan lantikan selama dua tahun bermula tahun 2023 hingga tahun 2025.

Antara justifikasi pelantikan tersebut adalah untuk meningkatkan hubungan stategik dan inovasi dalam bidang sains kesihatan dengan rakan industri dan antarabangsa, membangunkan kursus tentang sains kesihatan dengan industri dan pemegang taruh di dalam negara atau antarabangsa serta membantu dalam menyuburkan dan memacukan budaya perkhidmatan kesihatan berprestasi tinggi dalam kalangan kakitangan dan pelajar.

“Melalui pelantikan Profesor Adjung ini diharapkan hubungan strategik antara H-CARE dengan pusat lain serta program akademik di bawah FSK dan industri dapat diwujudkan,” kata Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar ketika memberikan kata alu-aluan.

Beliau juga menyatakan bahawa pelantikan tersebut dapat membantu meningkatkan potensi, perkembangan dan pelibatan pelajar serta penyelidik dalam bidang penyelidikan dan inovasi sekali gus meningkatkan perkhidmatan kesihatan dalam perancangan UKM melalui penubuhan bandar perubatan UKM, iaitu “Health Technopolis”.

Selain membincangkan takwim dan perancangan aktiviti Profesor Adjung Mohd Hareeff Muhammed sepanjang tempoh pelantikan beliau, perbincangan tentang kerjasama pelibatan IHH Healthcare Malaysia dalam program Hari Warga Emas 2023 anjuran H-CARE yang dirancang akan dilaksanakan pada Oktober 2023 turut dibicarakan.

Sesi pertukaran cenderamata antara Pengerusi H-CARE, YBrs. Profesor Dr. Devinder Kaur Ajit Singh dengan Profesor Adjung Mohd Hareeff Muhammed.

Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah Pengerusi H-CARE, YBrs. Profesor Dr. Devinder Kaur Ajit Singh, pegawai penyelidik H-CARE, ahli-ahli pusat kajian, wakil daripada IHH Healthcare Malaysia, Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan dan Operasi Twin Towers Medical Centre Sdn. Bhd., YBrs. Dr. Mohd Fairuz Abdul Razak, Pengurus Pembangunan Perniagaan Pantai Integrated Rehab Services Sdn. Bhd., Encik Muhammad Izzat Sallehan dan Pembantu Pengurus Operasi, Pembangunan dan Perhubungan Industri, Encik Abdul Razak Abdul Khalid.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.