12 Julai 2023, 17:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Buloh – Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Program Komuniti Kesedaran Denggi di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama (SKSU) untuk meningkatkan kesedaran murid dan masyarakat setempat mengenai penyakit denggi.

Dengan menampilkan tema dan pasukan Dengue Warrior, program ini dijalankan sebagai sebahagian daripada inisiatif universiti untuk menyumbang kepada kepentingan kesihatan awam dan pencegahan penyakit berjangkit.

“Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk menyebarkan maklumat dan kesedaran tentang bahayanya demam denggi dalam kalangan murid dan komuniti setempat serta pendedahan kepada langkah pencegahan yang boleh dilakukan sebagai cara terbaik dalam mengatasi penyebaran penyakit tersebut,” kata Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, FSK, UiTM Kampus Puncak Alam, YBrs. Profesor Madya Dr. Nazri Che Dom ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Program yang diadakan di SKSU itu merupakan kolaborasi antara UiTM dengan pihak sekolah serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Selangor yang melibatkan aktiviti penyampaian maklumat tentang denggi kepada murid, guru dan komuniti setempat.

Sesi penyampaian ceramah dan kuiz tentang demam denggi oleh salah seorang pegawai daripada PKD Kuala Selangor.

Aktiviti dalam program tersebut merangkumi ceramah kesedaran, pameran pendidikan dan sesi bermain sambil belajar yang bertujuan memperkukuh pengetahuan tentang demam denggi serta langkah pencegahan yang perlu diambil bagi menangani penyakit yang boleh membawa maut itu.

Mural berkaitan dengan nyamuk aedes yang dihasilkan oleh pelajar FSK, UiTM Kampus Puncak Alam.

Semasa program berlangsung, murid diberikan tunjuk ajar mengenai pemahaman asas penyakit demam denggi, habitat nyamuk aedes, pembasmian tempat pembiakan nyamuk aedes dan amalan kebersihan persekitaran.

Kehadiran maskot nyamuk aedes menambah kemeriahan dalam Program Komuniti Kesedaran Denggi di Sekolah Kebangsaan Saujana Utama.

Melalui kesedaran dan pengetahuan yang diperoleh, murid berpeluang menjadi agen dalam komuniti dan mampu menyampaikan maklumat kepada orang ramai bagi bersama-sama mencegah penularan penyakit demam denggi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.