11 Julai 2023, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hampir 100 orang penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak telah memanfaatkan ujian saringan kesihatan secara percuma yang disediakan oleh Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di reruai H-Care, FSK, UKM yang menjadi satu daripada aktiviti dalam Karnival MADANI: Sihat dan Prihatin.

Karnival yang diadakan bersempena dengan Sambutan 25 Tahun Jubli Perak Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) yang bermula sejak 1 Julai 2022 hingga 30 Jun 2023 itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk setempat.

Reruai H-Care, FSK, UKM yang menyediakan ujian saringan kesihatan secara percuma kepada penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak.

H-Care, FSK, UKM ialah pusat kajian yang menyediakan penjagaan kesihatan kepada warga emas oleh ahli profesional kesihatan terlatih pelbagai disiplin seperti pemakanan, fisioterapi, psikologi dan kognitif.

Reruai H-Care yang menyediakan ujian saringan kesihatan tersebut diwakili oleh lima orang pelajar pascasiswazah dalam bidang pemakanan dan psikologi kesihatan dan bertanggungjawab melaksanakan ujian saringan kesihatan kepada penduduk yang hadir bermula pukul 8.30 pagi hingga 3.00 petang.

Antara saringan kesihatan yang disediakan termasuklah pemeriksaan indeks jisim tubuh (BMI), peratusan lemak dan otot badan, umur biologi serta pemeriksaan kekuatan tangan dan kaki.

Ujian saringan kesihatan dijalankan di reruai H-Care, FSK, UKM bersempena dengan Karnival MADANI: Sihat dan Prihatin.

Keputusan pemeriksaan saringan kesihatan tersebut dijelaskan kepada penduduk pada sesi akhir rawatan serta mereka diberikan rundingan pemakanan yang bersesuaian agar memperbaik tahap kesihatan.

Pada masa yang sama, penduduk yang hadir juga didedahkan dengan perkhidmatan yang ditawarkan oleh H-Care seperti saringan demensia, program SlimShape dan program Supermarket Tour.

Secara keseluruhannya, penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak dinasihatkan untuk kesihatan masing-masing kerana kebanyakan daripada mereka mempunyai tahap peratusan lemak dan BMI yang melebihi paras normal.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.