10 Julai 2023, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Tambun – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Yang Berhormat (YB) Tuan Chan Foong Hin membuat lawatan kerja ke pusat ternakan akuakultur di Pulau Pinang bagi meninjau penghasilan akuakultur di negeri berkenaan.

Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 555 orang penternak akuakultur di Pulau Pinang pada tahun 2022 yang melibatkan kawasan ternakan seluas 1544.51 hektar.

“Daerah Seberang Perai Selatan merupakan penyumbang hasil pengeluaran akuakultur terbesar di Pulau Pinang dengan hasil akuakulturnya sebanyak 35 464 tan metrik melalui hasil ternakan kolam air payau (70 peratus); diikuti dengan Daerah Timur Laut sebanyak 3488 tan metrik; Daerah Seberang Perai Tengah dengan 2554 tan metrik; Daerah Barat Daya dengan 1573 tan metrik dan Seberang Perai Utara dengan 1379 tan metrik,” kata YB Tuan Chan Foong Hin dalam satu kenyataan.

Menurut rekod Jabatan Perikanan Malaysia, hasil ternakan akuakultur di Pulau Pinang pada tahun lalu telah menyumbang sebanyak RM658 juta kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.

Pada tahun 2022, ternakan akuakultur yang paling banyak dikeluarkan di negeri tersebut ialah ikan siakap, iaitu sebanyak 29 770 tan metrik, manakala ternakan lain seperti ikan keli (2691 tan metrik), ikan jenahak (2089 tan metrik), ikan merah (2009 tan metrik) dan hasil akuakultur lain menyumbang kepada 100 tan metrik hingga 1000 tan metrik.

Selain itu, sebanyak 11 orang penternak udang putih di negeri tersebut yang mengusahakan ternakan udang putih di kolam ternakan seluas 12.8 hektar sekali gus membolehkan pengeluaran udang putih yang berjumlah 1233 tan metrik dengan nilai RM 32 juta.

Pada masa yang sama, YB Tuan Chan Foong Hin turut berkesempatan meluangkan masa ke ladang ternakan benih ikan dan udang bersama-sama pegawai Jabatan Perikanan serta beramah mesra dengan Persatuan Penternak Pulau Pinang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.