10 Julai 2023, 20:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dua produk kosmetik dikenal pasti mengandungi racun berjadual oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu Airee Beautycare Night Cream dan BL Ledehh Day Cream 1.

Racun berjadual yang dikesan dalam Airee Beautycare Night Cream ialah merkuri, manakala BL Ledehh Day Cream 1 didapati mengandungi racun hidrokuinon dan tretinoin.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKM, notifikasi produk kosmetik berkenaan telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Merkuri yang boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan buah pinggang dan sistem saraf adalah antara faktor bahan ini dilarang di dalam produk kosmetik ini selain mengganggu perkembangan otak kanak- kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan serta mengakibatkan ruam, iritasi dan perubahan lain kepada kulit.

Sementara itu, produk yang mengandungi hidrokuinon dan tretinoin ialah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Hidrokuinon boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada sinar ultraungu berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit, manakala Tretinoin boleh mengakibatkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif terhadap cahaya matahari.

Berikutan penjualan dan pengedaran produk kosmetik berkenaan telah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk itu dengan serta-merta.

Hukuman denda tidak melebihi RM25 ribu atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50 ribu atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya bagi individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan tersebut.

Seterusnya, bagi syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda hingga RM50 000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100 000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik tersebut dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Status notifikasi sesuatu produk kosmetik boleh disemak dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA atau melalui aplikasi NPRA Product Status yang dimuat turun daripada Google Play Store.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.