10 Julai 2023, 16:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petra Jaya – Majlis penyerahan lapan projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) kepada Kerajaan Negeri Sarawak telah diadakan sambil disaksikan oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat (YB) Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Premier Sarawak, Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, hari ini.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), projek yang melibatkan peruntukan berjumlah RM63 juta itu merangkumi pelaksanaan kerja pengukuhan tebing sungai agar hakisan dapat dibendung, memastikan aliran air sungai lancar dan melindungi harta benda serta struktur awam di sepanjang tebing sungai berkenaan.

Projek RMKS turut memberikan nilai tambah dengan adanya pembangunan kawasan riadah penduduk setempat dan hampir 195 000 orang penduduk akan memperoleh manfaat daripada pelaksanaan projek tersebut.

Projek yang telah disiapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran itu melibatkan pemulihan koridor sungai di sungai Batang Kayan, Batang Balingian, Batang Sadong di Pekan Gedong dan Serian, Batang Sadong di Simunjan, Retaining Wall Sungai Baram, Rumah Naing, Pekan Sabtu Oya dan Betong.

Bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta dapat memberikan peningkatan hidup dan pertumbuhan ekonomi kepada negeri ini selari dengan konsep Malaysia MADANI, Kerajaan Persekutuan melalui NRECC akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan projek pemulihan koridor sungai dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri NRECC, YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, YB Dato’ Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Encik Abdul Wahid Abu Salim dan Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim) NRECC, YBhg. Dato’ Mohamad Razif Haji Abd Mubin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.