Oleh Nazri Che Dom
10 Julai 2023, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Meru – Pusat Pengajian Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam telah menganjurkan Program Komuniti Kesedaran Denggi di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru untuk meningkatkan kesedaran pelajar dan masyarakat setempat tentang bahaya penyakit demam denggi dan tindakan pencegahannya.

Program komuniti yang bertemakan “Dendam Kesumat Si Aedes!” itu memberikan peluang kepada para pelajar untuk mendalami pengetahuan mengenai penyakit demam denggi dan menggalakkan mereka untuk menjadi duta kesedaran dalam komuniti.

Pameran tentang nyamuk aedes daripada Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam program tersebut, para pelajar didedahkan dengan kitaran hidup nyamuk aedes, tempat yang berpotensi adanya pembiakan nyamuk dan langkah pencegahan yang efektif dalam usaha mengurangkan penularan penyakit demam denggi.

Program berkenaan juga memberikan penekanan terhadap kaedah pencegahan praktikal seperti pengurusan kawasan berisiko dan kebersihan persekitaran, misalnya membuang sampah dengan betul, mengosongkan dan membersihkan bekas air yang berkemungkinan menjadi tempat pembiakan nyamuk serta menggunakan kelambu nyamuk untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk.

Mural yang dihasilkan oleh pelajar Sarjana Muda Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran, FSK, UiTM Kampus Puncak Alam.

Dengan menyertai program sedemikian, para pelajar dapat mengenali dan mengawasi kawasan yang berisiko tinggi serta mengambil tindakan untuk mengurangkan populasi nyamuk aedes.

Melalui pemahaman yang mendalam tentang bahayanya aedes diharapkan dapat mencetuskan perubahan positif dalam sikap dan tingkah laku para pelajar dan masyarakat setempat terhadap usaha memerangi penularan penyakit demam denggi.

Antara pengisian aktiviti dalam Program Komuniti Kesedaran Denggi yang dianjurkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru.

Menerusi kesedaran dan pengetahuan yang diperoleh juga, para pelajar dapat menjadi agen yang menyampaikan maklumat dan mempengaruhi orang lain untuk bersama-sama mengambil langkah pencegahan yang diperlukan bagi mengurangkan penyebaran demam denggi.

Sesi bergambar bersama-sama kesemua peserta Program Komuniti Kesedaran Denggi sebagai tanda kenang-kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.