Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa fenomena El Nino dijangkakan meningkat pada penghujung tahun ini hingga awal tahun 2024 dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus.
Menurut WMO, fenomena tersebut terjadi apabila berlakunya pemanasan suhu permukaan Lautan Pasifik di sekitar khatulistiwa melebihi 0.5 darjah Celsius berbanding dengan nilai purata jangka panjang.
Fenomena El Nino biasanya berlaku pada setiap dua tahun hingga tujuh tahun dan berlanjutan antara sembilan bulan hingga 12 bulan.
Pada awal tahun 2024, fenomena El Nino dijangkakan akan memberikan kesan yang lebih ketara apabila intensitinya mencapai kemuncak, yakni negara akan mengalami cuaca panas dan kering yang berpanjangan.
Selain itu, fenomena itu juga akan mengakibatkan peningkatan suhu dan pengurangan jumlah hujan serta mampu menyebabkan keadaan jerebu merentas sempadan jika pembakaran hutan dan tanah gambut tidak terkawal.
Semua pihak dinasihatkan agar mengamalkan langkah penjimatan air dan mengelakkan daripada melakukan pembakaran terbuka, mengurangkan aktiviti di luar rumah atau bangunan serta minum air yang secukupnya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negara dan akan mengeluarkan Nasihat Gelombang Haba sekiranya bacaan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut.
MetMalaysia turut menyarankan orang ramai supaya peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat amaran cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca dan media sosial METMalaysia.