6 Julai 2023, 16:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Labu – Perasmian projek Point of Presence (PoP) Zon Selatan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat (YB) Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Haji Adnan, Kota, Rembau yang menyediakan infrastruktur gentian optik berhampiran dengan sekolah serta premis kerajaan bagi memastikan capaian jalur lebar berkelajuan lebih tinggi.

Sebanyak 36 projek PoP telah berjaya dilaksanakan di Negeri Sembilan daripada jumlah keseluruhan sebanyak 255 PoP yang meliputi fasa pertama dan fasa kedua bertujuan menggalakkan penerimaan teknologi digital dalam kalangan rakyat selain mempersiap siaga rakyat dengan kemahiran digital bagi merealisasikan Dekad Keemasan Digital.

Semasa lawatan kerja YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil selama dua hari itu bermula semalam, beliau turut berkesempatan menyantuni pemimpin masyarakat dan komuniti setempat dalam program Kita MADANI Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Terbuka Seri Batu 8, Labu.

Objektif utama program tersebut diadakan adalah untuk mendekati rakyat pada semua peringkat bagi menyuburkan semangat kebersamaan selain mempromosikan dasar kerajaan serta konsep Malaysia MADANI.

Pada masa yang sama, pelbagai pameran dipamerkan oleh agensi kerajaan dan negeri, jualan Rahmah, kempen kesedaran antipenipuan dan penyampaian Pakej Perpaduan serta sumbangan kepada golongan asnaf turut dilaksanakan dalam program tersebut.

Sementara itu, YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil turut membuat lawatan ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Palong 11 bagi meninjau keadaan pusat berkenaan berikutan kerosakan yang dihadapi akibat ribut pada 25 Jun 2023 yang lalu.

Bantuan kewangan serta-merta sebanyak RM50 000 akan disalurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi membaik pulih kerosakan PEDi di kawasan tersebut.

Beliau turut menyatakan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini dalam proses menjalankan aktiviti PEDi di lokasi sementara bagi memastikan komuniti setempat dapat menikmati kemudahan perkhidmatan PEDi.

Turut hadir bersama-sama lawatan kerja berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) KKD, Puan Mastura Ahmad Mustafa, Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) KKD, Encik Ma.Sivanesan serta ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah KKD.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.