5 Julai 2023, 20:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang – Bengkel Penulisan Artikel Majalah anjuran Bahagian Pengurusan Maklumat, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diadakan untuk memberikan panduan penulisan, khususnya penghasilan rencana sains dan teknologi serta mencungkil bakat para peserta yang terdiri daripada pegawai penyelidik dalam bidang teknologi nuklear melalui latihan praktikal bagi menghasilkan rencana yang berkualiti telah melabuhkan tirainya petang tadi.

Sesi perkongsian yang berlangsung selama dua hari itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peserta berikutan masing-masing berjaya menghasilkan rencana yang baik mengikut kriteria penulisan yang telah dibincangkan dalam bengkel tersebut.

Antara peserta yang menyertai Bengkel Penulisan Artikel Majalah anjuran Nuklear Malaysia dengan DBP di Dewan Tun Dr. Ismail, Nuklear Malaysia hari ini.

“Tahniah kepada para peserta kerana dipilih untuk menyertai bengkel penulisan ini bagi membolehkan cara berfikir setiap peserta ditransformasikan daripada pemikiran berbentuk saintifik kepada pemikiran berbentuk umum dengan menghasilkan rencana yang berimpak tinggi dalam bahasa Melayu,” kata Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin ketika merasmikan Bengkel Penulisan Artikel Majalah.

Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin ketika merasmikan Bengkel Penulisan Artikel Majalah.

Beliau juga menasihatkan para peserta agar menggunakan kesempatan yang ada dalam bengkel tersebut untuk menghasilkan rencana yang berkualiti dan berpeluang diterbitkan dalam ruang penerbitan di DBP, sama ada penerbitan dalam majalah, buku dan sebagainya.

Penulisan yang dihasilkan oleh para peserta dalam bengkel ini adalah sangat penting kerana maklumat penulisan tersebut yang berkaitan dengan sains dan teknologi dapat disebarkan dan dibaca oleh orang awam, sekali gus dapat merealisasikan usaha Dasar Teknologi Nuklear Negara yang diusahakan selama ini dan bakal dilancarkan pada September 2023 nanti.

Sementara itu, Pegawai Penerbitan, Bahagian Pengurusan Maklumat, Nuklear Malaysia, Puan Normazlin Ismail memberikan taklimat berkaitan dengan tatacara penerbitan yang telah ditetapkan oleh agensi itu bagi memastikan para peserta mengikuti peraturan tersebut bagi mengelakkan mereka menghasilkan rencana yang melanggar etika penulisan.

Pegawai Penerbitan, Bahagian Pengurusan Maklumat, Nuklear Malaysia, Puan Normazlin Ismail ketika memberikan taklimat berkaitan dengan tatacara penerbitan.

Dalam bengkel tersebut, sidang editor Dewan Kosmik berkongsikan panduan dan teknik penulisan yang betul kepada para peserta bagi membantu para peserta menghasilkan rencana sains dan teknologi yang baik, berkualiti serta mampu menarik perhatian pembaca untuk memahami isi kandungan penulisan yang ingin disampaikan.

Sesi perkongsian tentang panduan dan teknik penulisan rencana oleh sidang editor Dewan Kosmik.

Pelbagai aspek diketengahkan dalam bengkel penulisan tersebut seperti perincian ruangan yang terdapat dalam majalah bercetak dan majalah digital, cara untuk merangka penulisan rencana, penekanan terhadap penggunaan gambar atau rajah dalam rencana, penjelasan tentang hak cipta, perbincangan mengenai isu plagiat dan penerangan berkaitan dengan etika penerbitan.

Bengkel penulisan yang disertai oleh 45 orang pegawai penyelidik tersebut berakhir dengan sesi penyerahan cenderamata oleh kedua-dua belah pihak.

Turut hadir dalam bengkel penulisan tersebut ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Maklumat, Nuklear Malaysia, Puan Habibah Adnan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.