4 Julai 2023, 17:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Institute of Planetary Survival for Sustainable Well-Being (PLANETIIUM) yang telah dilancarkan secara rasminya oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merupakan institut pertama di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) yang berteraskan kesihatan planet secara komprehensif.

PLANETIIUM ialah satu lagi manifestasi bahawa universiti bukan sahaja harus peka dengan keadaan sekeliling, malah perlu menyumbang secara bermakna ke arah kesejahteraannya.

“Fokus penyelidikan institut ini akan menyentuh berkaitan dengan impak dan cabaran terhadap kehidupan masyarakat susulan perubahan iklim, pencemaran, kehilangan biodiversiti, kemerosotan sumber semula jadi dan pemusnahan habitat,” kata YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap dalam Majlis Pelancaran PLANETIIUM berkenaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap dalam Majlis Pelancaran PLANETIIUM.

Menurut beliau, projek makmal Frozen Zoo yang pertama di Asia Tenggara ini ialah satu daripada projek utama PLANETIIUM yang merupakan inisiatif kritikal dan inovatif dalam menyimpan bahan genetik spesies haiwan yang terancam.

Tambah beliau lagi, makmal tersebut akan menjalankan aktiviti seperti pengumpulan, penyimpanan dan pemeliharaan jangka masa panjang bagi sel, tisu dan bahan pembiakan daripada pelbagai spesies haiwan.

Beliau juga menyatakan bahawa penubuhan PLANETIIUM berkenaan sangat berkait rapat dengan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara yang diumumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada tahun lalu.

Diharapkan PLANETIIUM dapat memacu penyelidikan dan inovasi bermanfaat dalam agenda kelestarian dan kesejahteraan menerusi kajian serta pengurusan secara saintifik dan strategik.

Pada masa yang sama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga diharapkan dapat merealisasikan aspirasinya, iaitu memartabatkan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin atau rahmat kepada seluruh alam yang bertepatan dengan agenda Malaysia MADANI, yakni mewujudkan kesejahteraan melalui keseimbangan.

Dalam majlis tersebut juga, beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk projek agrikultur kepada golongan asnaf yang terpilih.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan berbentuk projek agrikultur kepada golongan asnaf yang terpilih.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.