27 Jun 2023, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berdasarkan anggaran bekalan ternakan daripada perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), iaitu sebanyak 39 857 ekor lembu atau kerbau dan 29 988 ekor kambing atau biri-biri dijangkakan mencukupi dan dapat memenuhi keperluan permintaan sembelihan korban pada tahun ini, yakni sebanyak 38 404 ekor lembu atau kerbau dan 20 420 ekor kambing atau biri-biri.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, statistik DVS menunjukkan stok bekalan lembu atau kerbau tempatan hingga Mei 2023 adalah sebanyak 34 946 ekor, manakala bekalan lembu atau kerbau yang diimport hingga April 2023 pula adalah sebanyak 4911 ekor, sekali gus jumlah keseluruhan bekalan lembu atau kerbau bagi tujuan korban ialah 39 857 ekor.

Sementara itu, bekalan kambing atau biri-biri untuk penyembelihan hari raya korban hingga Mei 2023 adalah sebanyak 25 821 ekor, manakala bekalan kambing atau biri-biri yang diimport hingga April 2023 adalah sebanyak 4167 ekor dan jumlah keseluruhan bekalan ternakan tersebut untuk tujuan korban ialah 29 988 ekor.

Dianggarkan permintaan bagi lembu atau kerbau adalah sebanyak 38 404 ekor, manakala kambing atau biri-biri adalah sebanyak 20 420 ekor setelah mengambil kira keperluan masjid, surau dan penyembelihan di luar masjid atau surau untuk digunakan pada Hari Raya Korban, tahun ini.

Susulan itu, sebanyak 27 buah rumah sembelih ruminan milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sentiasa bersedia untuk beroperasi dan DVS juga mengeluarkan lesen kepada 38 buah rumah sembelih swasta di Semenanjung Malaysia yang boleh memberikan perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.