23 Jun 2023, 18:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di Malaysia yang berusia antara lima tahun hingga 17 tahun menunjukkan pencapaian yang kurang memberangsangkan, iaitu gred D minus (D -).

Hasil dapatan keputusan ini dicerap melalui Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja Malaysia 2022 yang telah dilancarkan bersempena dengan Majlis Pelancaran Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 yang diadakan di Hotel Putrajaya Marriot.

Dalam laporan ini, sebanyak 12 penunjuk digunakan, iaitu 10 penunjuk teras yang disarankan oleh Active Healthy Kids Global Alliance dan dua penunjuk tambahan termasuklah permainan aktif, pengangkutan aktif dan status berat badan.

Pengerusi Active Healthy Kids Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohd Razif Shahril  menyatakan bahawa pencapaian yang diperoleh pada tahun 2022 adalah hampir sama dan tidak berubah dengan gred yang diperoleh buat kali pertama direkodkan pada tahun 2016.

“Laporan ini menunjukkan bahawa tiada pencapaian kenaikan gred secara menyeluruh dapat dicapai dengan lebih baik selepas empat tahun,” jelasnya lagi.

Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Kampus Kuala Lumpur, Profesor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa melalui Dasar Satu Murid Satu Sukan yang telah diperkenalkan oleh kerajaan, semua pihak seharusnya mengambil peranan yang penting pada peringkat awal lagi supaya usaha ini boleh digunakan pada luar waktu sekolah secara berterusan.

Kanak-kanak dan remaja perlu diberikan ruang untuk melakukan aktiviti yang mendorong mereka untuk kekal aktif, namun kekangan dengan keluarga yang sibuk menyebabkan mereka akhirnya diberikan capaian kepada telefon untuk bermain permainan dalam talian.

Pencapaian yang diterjemahkan dalam bentuk kad laporan ini ialah hasil kerjasama antara AHKGA dengan Universiti Kebangsaan Malaysia melalui proses harmonisasi Global Matrix 4.0 yang meletakkan Malaysia pada tangga ke-34 daripada 57 negara yang mengambil bahagian.

Barisan penyelidik dari UKM yang terlibat dalam Majlis Pelancaran Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 yang di Hotel Putrajaya Marriot, semalam.

Penunjuk ini juga digredkan berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017, yakni hanya satu daripada lima remaja Malaysia atau (19.8 peratus) yang berumur antara 13 tahun hingga 17 tahun dilaporkan aktif secara fizikal, sekurang-kurangnya 60 minit sehari selama lima hari atau lebih dalam seminggu.  

Majlis Pelancaran Kad Laporan Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja 2022 diakhiri dengan sesi forum yang bertajuk “Aktiviti Fizikal Kanak-kanak dan Remaja di Malaysia – Reset Semula Pasca COVID-19”.

Turut hadir dalam program ini ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Encik Ho Teck Seng bersama-sama 110 orang tetamu undangan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan pihak berkepentingan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.