22 Jun 2023, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Malaysia berjaya menduduki kedudukan ke-20 dunia dalam usaha menyediakan ekosistem syarikat pemula (startups) sekali gus menjadikan kejayaan tersebut merupakan suatu yang membanggakan dan meyakinkan dalam senarai Strong Starters Ranking.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTl), pelbagai inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia 2021-2030 yang dikenali sebagai SUPER telah dilaksanakan oleh MOSTI bagi menyokong dan memberikan manfaat kepada lebih 3000 syarikat pemula dan satu daripada usaha untuk memperbaik dan mempertingkat pertumbuhan ekosistem bidang sains, teknologi, inovasi dan ekonomi.

Hingga Jun 2023, MOSTI telah melaksanakan SUPER menerusi Cradle Fund Sdn. Bhd. selaku agensi penyelaras syarikat pemula dan kini sasarannya adalah untuk memberikan sokongan kepada 5000 syarikat pemula menjelang tahun 2025.

Nilai ekosistem Malaysia adalah antara lima ekosistem teratas bagi ekosistem memuncul berikutan nilai ekosistem syarikat pemula Malaysia yang mencecah 46 bilion dolar bagi tempoh separuh pertama tahun 2020 hingga tahun 2022 sekali gus meletakkan nilai ekosistem Malaysia tersebut mengatasi Copenhagen, Guangzhou, Minneapolis, Bucharest dan Mexico City.

Pengiktirafan Malaysia di bawah Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global membuktikan keberkesanan usaha yang dilaksanakan oleh MOSTI untuk membangunkan ekosistem tersebut berpandukan SUPER 2021-2030 yang diterajui oleh Cradle Fund Sdn. Bhd.

Pendekatan yang lebih berstruktur menerusi Cradle Fund Sdn. Bhd. dengan kerjasama badan kerajaan berkaitan seperti Suruhanjaya Sekuriti, Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC), Penjana Kapital, Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) dan TalentCorp telah membina asas yang kukuh bagi memacu perkembangan lestari ekosistem syarikat pemula Malaysia.

Berdasarkan Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023 yang diterbitkan oleh Startup Genome, Malaysia juga kekal di kedudukan 21 hingga 30 di Emerging Ranking Ecosystem ekoran hasil daripada aktiviti pembiayaan yang rancak kepada syarikat pemula.

Selaras dengan Teras Pembudayaan Daya Cipta Malaysia MADANI, MOSTI akan terus melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif bersepadu dalam menyediakan ekosistem syarikat pemula.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.