20 Jun 2023, 17:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Pilah – Sebanyak 23 orang pelajar Program Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memeriahkan suasana sekitar Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Kuala Pilah menerusi Program Pemakanan Sihat bagi Warga Emas yang memfokuskan sesi interaksi antara pelajar UKM dengan 30 orang warga emas mengenai amalan hidup sihat menerusi pemakanan.

Program yang bertemakan “Kembara Pemakanan Sihat, Ayuh Mulakan” itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan selepas sesi saringan kesihatan yang telah diadakan pada 10 Mei 2023.

“Program ini dilaksanakan untuk menyampaikan maklumat pemakanan sihat dalam usaha mengekalkan status kesihatan warga emas bagi memastikan kesihatan fizikal dan mental mereka berada pada tahap yang baik serta mewujudkan sikap keprihatinan anak muda terhadap kesejahteraan komuniti,” kata Penasihat Program Pemakanan Sihat bagi Warga Emas, YBrs. Dr. You Yee Xing.

Berdasarkan hasil dapatan kajian program tersebut, didapati bahawa hampir sebahagian daripada warga emas menghidapi penyakit darah tinggi dan masalah berat badan.

Satu program intervensi telah dirangka yang bersesuaian dengan permasalahan warga emas. Modul utama yang akan digunakan ialah Sedap Tidak Semestinya Masin, Pilihan Bijak Makan Sihat dan Senaman Cegah Jatuh.

Sesi interaksi antara pelajar UKM dengan warga emas yang terlibat dalam Program Pemakanan Sihat bagi Warga Emas.

“Program seumpama ini dapat memberikan pelbagai manfaat dan saya sangat mengalu-alukan kedatangan para pelajar UKM untuk mengadakan aktiviti bersama-sama warga emas di sini,” ujar Ahli Persatuan Warga Emas Kuala Pilah, Encik Sulaiman Ujang.

Penasihat Program Pemakanan Sihat bagi Warga Emas, YBrs. Dr. You Yee Xing (kanan) bergambar bersama-sama Ahli Persatuan Warga Emas Kuala Pilah, Encik Sulaiman Ujang (kiri).

Beliau juga menyatakan bahawa program sebegini wajar diteruskan pada masa akan datang agar lebih banyak individu yang cakna tentang kesejahteraan warga emas di Malaysia.

“Saya berasa teruja apabila mendapat peluang untuk menyampaikan maklumat berkaitan dengan pemakanan sihat kepada warga emas selain merasakan bahawa program seperti ini dapat memberikan impak yang signifikan kepada komuniti tertentu,” kata pelajar Program Dietetik FSK, UKM, Puan Nurul Mirza Mohd Shah.

Sesi bergambar bersama-sama pelajar UKM dan Penasihat Program Pemakanan Sihat bagi Warga Emas, YBrs. Dr. You Yee Xing sebagai tanda kenang-kenangan.

Program berkenaan turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM), Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik UKM (NUDSA) dan FSK, UKM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.