Diterbitkan pada 20 Jun 2023, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak lima saintis muda negara diberikan pengiktirafan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 di Lindau, Jerman yang bakal berlangsung pada 25 Jun hingga 30 Jun ini.

Menurut Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam kenyataan medianya, lima saintis muda yang terpilih ialah Dr. Liyana Azmi (Universiti Sains Islam Malaysia), Dr. Norhasmira Mohammad (Universiti Teknologi MARA), Dr. Wong Yin How (Taylor’s University), Dr. Afifah Mohamed dan Dr. Wong Sok Kuan (Universiti Kebangsaan Malaysia).

Mereka akan menyertai sebanyak 630 saintis muda terpilih daripada seluruh dunia yang akan berinteraksi secara langsung dengan sekurang-kurangnya 40 pemenang Anugerah Nobel dalam mesyuarat kali ini yang didedikasikan dalam bidang fisiologi dan perubatan.

Dalam kenyataan yang sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat Chang Lih Kang berkata bahawa terdapat keperluan untuk memberikan peluang kepada saintis muda Malaysia untuk turut serta dalam program bertaraf global seperti Mesyuarat Nobel Laureate ini.

“Melalui perkongsian perspektif baharu serta idea yang inovatif, kumpulan saintis muda ini menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik. Langkah ini adalah penting untuk memastikan generasi baharu saintis dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran masa depan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada kerajaan, Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pula menerangkan bahawa penyertaan Malaysia kali ini adalah antara usaha ASM menerusi kerjasama antarabangsa untuk memperkasa saintis muda dengan menyediakan peluang kerjasama dengan kumpulan saintis terkemuka dunia.

“Penyertaan ini juga memberikan mereka pendedahan yang amat berharga untuk memperluas rangkaian, berkongsi idea, pengetahuan dan penyelidikan. Diharapkan juga usaha ini mampu memberikan inspirasi serta motivasi kepada mereka untuk memajukan sains dan teknologi, sekali gus memberikan impak yang positif kepada masyarakat,” tambahnya lagi.

Sebagai rekod, Malaysia telah menghantar sebanyak 84 saintis muda untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Nobel Laureate sejak tahun 2004.

Kumpulan saintis muda tersebut akan menyertai sesi syarahan, perbincangan terbuka serta peluang untuk bertemu dengan Pemenang Anugerah Nobel secara santai menerusi acara Laureate Lunch.

ASM telah membuka pencalonan bagi Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 kepada semua saintis muda institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara pada 21 September 2022 hingga 7 Oktober 2022.

Saringan awal pemilihan dilakukan oleh ASM dan diputuskan oleh ahli jawatankuasa Mesyuarat Nobel Laureate untuk pemilihan akhir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi