19 Jun 2023, 12:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bintulu – Majlis Pelancaran dan Bicara Buku Buku Makanan Berfungsi: Seribu Satu Kebaikan telah berjaya diadakan di Auditorium Perpustakaan Awam, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA).

Program ini merupakan satu daripada program Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka.

Selain itu, Majlis Penangguhan Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak turut diadakan dalam majlis yang sama.

Kedua-dua majlis ini telah disempurnakan oleh Setiausaha BDA, Encik Wan Ibrahim Wan Ali yang mewakili Pengurus Besar BDA, YBhg. Datu Haji Muhammad Yakup Kari.

Pelancaran buku Makanan Berfungsi: Seribu Satu Kebaikan disempurnakan oleh Setiausaha BDA, Encik Wan Ibrahim Wan Ali (kiri) dan diiringi oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (tengah) serta Pengarah Institut Ekosains Borneo UPMKB, Dr. Syeed Saifulazry Osman Al-Edrus.

Menurut Encik Wan Ibrahim Wan Ali dalam ucapan penangguhannya, beliau berharap agar keseluruhan program yang telah dilaksanakan dapat memberikan manfaat.

Semoga segala usaha yang dilakukan dalam Karnival Intelek 2023 Peringkat Sarawak ini mampu membina keintelektualan masyarakat di Bintulu melalui penganjuran pelbagai kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai dalam ucapan alu-aluannya berkata beliau berharap agar jalinan kerjasama antara BDA dengan DBP dapat diteruskan pada masa akan datang.

DBP Cawangan Sarawak sentiasa bersiap siaga mendukung dasar kerajaan serta melakukan setiap perubahan berdasarkan keperluan masyarakat Sarawak, terutamanya di Bintulu.

Dalam majlis yang sama, Encik Wan Ibrahim Wan Ali turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak, Pertandingan Dendangan Syair, Pertandingan Penglipur Lara Moden, Pertandingan Pantas Jawi Sekolah Rendah dan Pertandingan Teka Silang Kata.

Pemenang Pertandingan Dendangan Syair.

Program Bicara Buku yang membicarakan buku bertajuk Makanan Berfungsi: Seribu Satu Kebaikan menampilkan sebanyak dua orang ahli panel, iaitu Pengarah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini dan Timbalan Pengarah, Institut Ekosains Borneo UPMKB, Profesor Dr. Patricia King Jie Hung serta Pensyarah Kanan, Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, UPMKB, Dr. Yasmin Yaccob selaku moderator.

Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini dalam perkongsiannya menyatakan bahawa makanan berfungsi ialah sesuatu makanan yang boleh mencegah penyakit dan tidak dikategorikan sebagai ubat-ubatan.

“Makanan berfungsi mengandungi zat atau nutrien penting yang mampu memberikan kesan positif kepada sistem imuninasi badan dan seterusnya meningkatkan kesihatan individu,” ujarnya yang menghadiri sesi tersebut secara maya.

Dr. Yasmin Yaccob (kiri) dan Profesor Dr. Patricia King Jie Hung (kanan) dalam program Bicara Buku Makanan Berfungsi: Seribu Satu Kebaikan.

Profesor Dr. Patricia King Jie Hung pula menambah bahawa buku Makanan Berfungsi: Seribu Satu Kebaikan memberikan pendedahan kepada pengguna mengenai ilmu pemakanan yang sihat.

Turut hadir dalam majlis ini Pengarah Institut Ekosains UPMKB, Dr. Syeed Saifulazry Osman Al Edrus.

Kredit gambar: Norfazrie Isquandy Nurol

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.