Diterbitkan pada 18 Jun 2023, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jertih – Berikutan keadaan muara Sungai Besut yang mengalami masalah pemendapan sekali gus menjadikannya cetek dan menjejaskan laluan keluar masuk bot, pelaksanaan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Besut diteruskan dan dijangkakan siap sepenuhnya pada Disember 2025.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad melawat ke kawasan projek berkenaan bagi meninjau baki kerja yang tergendala.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRECC, projek di bawah NRECC melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia tersebut melibatkan peruntukan berjumlah RM250 juta.

Skop projek meliputi pembinaan benteng pemecah ombak di bahagian utara dan selatan muara sungai yang masing-masing berukuran 1.3 kilometer dan 1.85 kilometer panjang, melibatkan pembinaan lapis lindung tebing di Kampung Sungai Nail, kerja mendalamkan alur laluan bot di muara dan sungai serta penyuburan pantai di sepanjang pantai utara muara Sungai Besut.

Muara Sungai Besut ialah laluan pelayaran utama bagi lebih 400 buah bot nelayan dan pelancongan untuk berlabuh di beberapa jeti di kawasan tersebut termasuklah di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kawasan pelancongan dan persendirian serta menjadi laluan utama bagi pelancong dan penduduk tempatan untuk ke pulau yang berhampiran seperti Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

Pemecah ombak sedia ada yang dibina pada tahun 1998 kurang berkesan untuk menangani masalah pemendapan menyebabkan kelancaran aliran air banjir dari sungai untuk keluar ke laut terjejas.

Pada masa yang sama, kedudukan jeti LKIM yang terdedah kepada pukulan ombak dan menyukarkan bot untuk berlabuh, terutamanya semasa ombak kuat dan musim tengkujuh menjadi satu masalah kepada para nelayan.

Projek yang bermula sejak tahun 2016 itu tidak dapat disiapkan seperti yang dijadualkan pada Disember 2019 disebabkan oleh masalah infrastruktur dan kelemahan kontraktor menyebabkan penamatan kontrak telah dilakukan pada Disember 2020 dan kontraktor penyelamat dilantik secara tender terbuka pada 17 November 2022.

Dengan penyiapan projek ini, masalah mendapan, terutamanya di bahagian muara Sungai Besut dapat diselesaikan, memberikan perlindungan kepada kawasan jeti dan bot daripada ombak kuat, mengurangkan masalah hakisan pantai di kawasan pantai utara, nelayan bebas melaksanakan aktiviti perikanan dengan menggunakan laluan navigasi yang lebih selamat serta meningkatkan aktiviti ekonomi dan sosial penduduk tempatan.

Tindakan yang dilakukan oleh NRECC ini membuktikan bahawa NRECC sentiasa komited dalam menyelesaikan masalah pemendapan di muara sungai dan hakisan pantai sekali gus dapat menjaga kemaslahatan penduduk tempatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi