Diterbitkan pada 17 Jun 2023, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia mengukuhkan lagi jaringan universiti dengan masyarakat melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Riding For The Disabled Association Malaysia (RDA).

Bertempat di Polo Club Kuala Lumpur, MoU berkenaan ditandatangani oleh Timbalan Dekan Jaringan, Industri, Alumni dan Masyarakat, FSK, UKM, Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib dan Ketua Program Fisioterapi, FSK, UKM, Dr. Asfarina Zanudin bersama-sama Presiden RDA Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Setiausaha Kehormat RDA, Encik Johari Lee.

Sesi menandatangai MoU antara Timbalan Dekan Jaringan, Industri, Alumni dan Masyarakat, FSK, UKM, Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib dan Presiden RDA Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman.

Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib dalam ucapan alu-aluannya, beliau berasa bangga kerana usaha sama ini bertepatan dengan komitmen UKM dalam memenuhi hak dan menjaga keperluan pelajar, kakitangan dan pesakit orang kelainan upaya (OKU) untuk mendapatkan akses penuh kepada sistem pembelajaran dan persekitaran rawatan yang baharu serta inklusif.

“Hal ini menunjukkan bahawa Program Fisioterapi telah menyahut aspirasi universiti dalam memperkasakan naratif T.E.R.A.S UKM yang menjadi lembayung untuk UKM terus mencapai kecemerlangan melalui unsur kebitaraan prihatin yang merujuk segala aktiviti adalah bersifat kemasyarakatan dan mesra OKU,” tambahnya lagi.

Beliau juga mengharapkan melalui kerjasama ini, pihak RDA Malaysia akan terus menyokong Program Fisioterapi dan FSK dalam menjaga dan memperkasakan hak golongan OKU untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

Wakil daripada FSK, UKM dan RDA.

Kerjasama antara Program Fisioterapi dan RDA telah terjalin sejak tahun 2016 melalui pelbagai rawatan terapi seperti terapi berkuda bagi pesakit di Klinik Fisioterapi serta penganjuran kursus terapi berkuda bagi pelajar, ibu bapa serta kakitangan FSK, UKM.

Majlis yang penuh bermakna dan bersejarah ini disaksikan oleh pengurusan tertinggi RDA, kakitangan dan para pelajar FSK UKM, sukarelawan RDA, kanak-kanak kurang upaya yang mendapatkan rawatan terapi berkuda serta para pengiring.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi