Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Memandangkan pemulihan pulmonari ialah bidang kepakaran fisioterapi yang kian mendapat permintaan dalam pasaran kesihatan, Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif dengan menganjurkan Bengkel Prasiswazah untuk Pelajar Fisioterapi: Program Pemulihan Pulmonari di Klinik Fisioterapi, FSK, UKM.
Bengkel yang diadakan bersemuka secara teori dan amali ini menampilkan mantan pensyarah Program Fisioterapi, FSK, UKM, Profesor Dr. Hajah Ayiesah Haji Ramli dan Ahli Fisioterapi Kanan Jantung Paru-paru, Dr. Khatijjahbe Mohd Ali selaku penceramah.
Dalam bengkel ini, Profesor Dr. Hajah Ayiesah Haji Ramli berkongsikan kepakaran dan pengalaman beliau melalui kajian dan kegunaan pemulihan pulmonari yang dilakukan kepada pesakit.
“Saya mendapati bahawa kaedah perawatan melalui pemulihan pulmonari terbukti berkesan merawat dan membantu kesejahteraan pesakit yang mempunyai masalah paru-paru,” jelasnya lagi.
Dr. Khatijjahbe Mohd Ali pula menyatakan bahawa penggunaan teknik penilaian pemulihan pulmonari berdasarkan kajian saintifik yang terkini dijalankan kepada populasi pesakit yang mengalami masalah peparu kronik.
“Saya amat berharap pelajar mengambil peluang sebaik-baiknya melalui bengkel ini untuk mempelajari teknik penilaian pemulihan pulmonari dan mempraktikkan kaedah tersebut secara langsung dengan bimbingan fasilitator yang berpengalaman,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Pengarah Bengkel Prasiswazah untuk Pelajar Fisioterapi: Program Pemulihan Pulmonari, Dr. Nor Azura Azmi berkata bahawa pelajar perlu menguasai dan mempunyai kemahiran dalam bidang kepakaran ini untuk membina kualiti hidup pesakit yang lebih baik.
Jelasnya, perawatan pesakit melalui pemulihan pulmonari sangat penting buat pesakit, terutamanya selepas serangan pandemik COVID-19 untuk membantu pemulihan optimum sistem pernafasan pesakit.

Sebanyak 33 peserta yang terdiri daripada pelajar tahun akhir Program Fisioterapi, FSK, UKM, pelajar daripada Universiti Cyberjaya dan Universiti Tunku Abdul Rahman telah menghadiri bengkel selama dua hari ini.