16 Jun 2023, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jumlah kes kumulatif penyakit berkaitan dengan cuaca panas dari Minggu Epidemiologi ke-16 (ME 16/2023) hingga ME 23/2023 adalah sebanyak 39 kes dan Kelantan mencatatkan kes cuaca panas yang tertinggi, iaitu sebanyak 10 kes.

Selain Kelantan, bilangan keseluruhan kes berkaitan dengan cuaca panas mengikut negeri turut melibatkan Sabah (sembilan kes), Sarawak (lapan kes), Melaka (empat kes), Terengganu (tiga kes), Kedah (dua kes) dan masing-masing satu kes di Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Perak, manakala pecahan kes mengikut umur membabitkan 25 kes dewasa, sembilan kes remaja, tiga kes kanak-kanak dan dua kes warga emas.

“Daripada 39 kes berkaitan dengan cuaca panas itu, pecahan kes mengikut diagnosis disebabkan oleh kelesuan haba (23 kes), kejang haba (11 kes) dan strok haba (lima kes),” kata Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Dr. Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan.

Setakat ME 23/2023, tiada kes kematian baharu akibat strok haba dilaporkan sekali gus menjadikan bilangan kumulatif kes kematian akibat strok haba kekal sebanyak satu kes sahaja, yakni seperti yang dilaporkan pada 25 April 2023.

Sementara itu, menyentuh isu kehadiran El Nino semasa monsun barat daya, YB Dr. Zaliha Mustafa dalam kenyataan tersebut menyatakan bahawa keadaan cuaca kering yang berpanjangan berpotensi mengakibatkan paras air di empangan berkurangan dan seterusnya menyebabkan bekalan air bersih terganggu.

Kejadian kebakaran terbuka juga boleh berlaku dalam tempoh tersebut dan mengakibatkan jerebu tempatan atau jerebu rentas sempadan yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat.

Oleh hal yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia menasihatkan orang ramai agar mengehadkan keberadaan di kawasan panas terik, mengurangkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas, kerap minum air bagi memastikan hidrasi badan mencukupi, mengelakkan diri daripada melakukan pembakaran terbuka dan mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang berdekatan sekiranya tidak sihat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.