14 Jun 2023, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 17 kes berkaitan dengan penyakit kecederaan paru-paru akibat penyalahgunaan bahan terlarang dalam cecair vap atau electronic cigarette or vaping products use associated lung injury (EVALI) setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan melalui kenyataan media memaklumkan bahawa pihaknya memohon semua pengamal perubatan agar terus membuat notifikasi kepada pihak KKM sekiranya terdapat mana-mana pesakit yang dikesan menghidap penyakit tersebut.

“KKM ingin mengingatkan semua pengguna bahawa rokok elektronik atau vap adalah tidak selamat kerana memberikan kesan buruk kepada kesihatan dan tindakan tersebut bukanlah kaedah alternatif untuk berhenti merokok.”

Beliau berkata, KKM telah memulakan aktiviti pemantauan penyakit berkaitan dengan penggunaan rokok elektronik atau vap termasuklah EVALI melalui Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan berkaitan keperluan notifikasi bermula  pada Jun 2022.

Tambahnya, KKM juga telah mewujudkan Panduan Amalan Klinikal (CPG) Pengurusan EVALI pada tahun 2021 bagi membantu pengamal perubatan mengesan dan merawat kes EVALI.

Beliau menambah, penggunaan rokok elektronik telah terbukti mendatangkan kemudaratan kepada penggunanya kerana bahan yang terkandung di dalam cecair rokok elektronik apabila dipanaskan akan menghasilkan bahan kimia yang boleh memberikan kesan keradangan kepada lapisan paru-paru dan menyebabkan penyakit EVALI.

Katanya, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022 mencatatkan peningkatan penggunaan vap dalam kalangan remaja berumur 13 tahun hingga 17 tahun daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun lalu. Peningkatan yang ketara turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan, iaitu daripada 2.8 peratus pada tahun 2017 meningkat kepada 6.2 peratus pada tahun 2022.

Beliau turut menasihatkan mereka yang merokok dan ingin berhenti merokok untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang disediakan di klinik kesihatan berdekatan atau melayari laman web di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.