11 Jun 2023, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Batu Caves – Sebanyak 68 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Batu Caves, Selangor telah mendapat preskripsi dan tajaan kaca mata percuma oleh pihak Maxvue Vision Sdn. Bhd. melalui program khidmat masyarakat saringan penglihatan yang dianjurkan oleh program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama syarikat pengeluar kanta lekap tempatan, Maxvue Vision Sdn. Bhd.

Saringan penglihatan mata yang dijalankan kepada 121 orang kanak-kanak melibatkan pengukuran tahap penglihatan, entrance tests, pemeriksaan kuasa refraktif mata, pemeriksaan kesihatan struktur mata, rundingan dan pemilihan bingkai kaca mata yang sesuai.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Maxvue Vision Sdn. Bhd., Encik Selvam Kanniah, inisiatif khidmat masyarakat ini merupakan usaha kolektif dalam membawa perubahan positif dan memastikan kanak-kanak yang kekurangan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan mendapat bantuan yang sewajarnya.

Usaha ini diharapkan dapat membantu kanak-kanak mendapatkan penglihatan yang optimum dalam meningkatkan prestasi akademik dan interaksi sosial mereka.

Melalui program ini juga, beberapa kes yang melibatkan pemeriksaan lanjutan turut dirujuk kepada pakar oftalmologi di hospital dan Klinik Optometri, FSK, UKM.

Pemeriksaan kuasa mata dan pemilihan bingkai kaca mata dalam aktiviti saringan penglihatan di SJK (T) Batu Caves, Selangor.

Aktiviti khidmat masyarakat ini juga memberikan pengalaman pembelajaran imersif kepada pelajar Program Optometri, FSK, UKM melalui kemahiran praktikal, di samping membina sifat empati dan rasa tanggungjawab sosial yang mendalam sebagai asas untuk kerjaya masa depan mereka dalam memupuk generasi profesional penjagan mata yang cemerlang.

Sesi rundingan bersama-sama pelajar Program Optometri, FSK, UKM dalam aktiviti saringan penglihatan di SJK (T) Batu Caves, Selangor.

Sebanyak 56 pelajar tahun tiga dan empat bagi Program Optometri, FSK, UKM bersama-sama lima pensyarah menjalankan saringan penglihatan dalam aktiviti ini.

Pemeriksaan kesihatan struktur okular mata.

Turut serta dalam aktiviti ini ialah kakitangan Maxvue Vision Sdn. Bhd.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.