10 Jun 2023, 17:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan sokongan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan satu inisiatif baharu menerusi Program Malaysia Aktif @ Komuniti bagi merealisasikan hasrat membudayakan sukan, khususnya dalam kalangan warga Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA).

Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh Tseow Suan telah melancarkan program Malaysia Aktif @ Komuniti bertempat di PPR Taman Bagan Jaya, Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KBS, program berkenaan yang merangkumi aktiviti senamrobik dan zumba untuk menyemai pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan serta mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti sekali gus bertindak sebagai langkah intervensi sosial bagi mengelakkan gejala negatif, terutamanya melibatkan belia dan anak muda.

Sebagai permulaan, program tersebut akan dilakukan pada setiap hari Sabtu atau Ahad selama 30 minggu, yakni sebanyak satu sesi diadakan dalam seminggu yang bermula dari Jun 2023 hingga Disember 2023 dengan sasaran penyertaan keseluruhan sebanyak 36 ribu orang di seluruh negara secara percuma.

Program yang menggalakkan gaya hidup sihat ini melibatkan 12 lokasi di enam buah negeri termasuklah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak pula akan diadakan pada fasa yang seterusnya.

Lokasi pelaksanaan Program Malaysia Aktif @ Komuniti.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berkenaan dengan program berkenaan, orang awam boleh menghubungi JBSN di talian 03-88713202 atau menghantar e-mel menerusi [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.