9 Jun 2023, 10:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kesedaran orang ramai terhadap isu pembaziran makanan harus diberikan perhatian berikutan peningkatan sisa makanan harian hampir setiap tahun, terutamanya dalam bulan perayaan. Keadaan ini juga seolah-olah sudah menjadi budaya tahunan yang amat membimbangkan.

Daripada lebih kurang 38 ribu tan metrik sisa yang dikeluarkan pada setiap hari, sebanyak 44 peratus datangnya daripada sisa makanan. Jika dikira jumlah berkenaan, 17 ribu tan metrik sisa terdiri daripada sisa makanan. Perkiraan nilai sisa makanan ini bersamaan dengan tujuh kolam renang Olimpik yang mampu memuatkan semua sisa berkenaan.

Berdasarkan rekod tahun sebelum ini, sisa makanan yang dibuang meningkat 15 hingga 20 peratus pada bulan Ramadan dan jumlah ini tidak berubah dalam tempoh beberapa tahun lalu. Tahun ini dianggarkan sebanyak 75 240 tan metrik sisa makanan dibuang sepanjang bulan Ramadan, terutamanya daripada juadah ketika berbuka puasa.

Hal ini dapat dikaitkan dengan keseronokan masyarakat membeli juadah yang pelbagai dengan jumlah yang banyak untuk berbuka di bazar Ramadan, selain kecenderungan masyarakat untuk berbuka puasa di hotel dan restoran yang menawarkan menu bufet yang pelbagai citarasa dengan harga yang berbeza.

Sudah pastinya dengan beraneka jenis makanan, timbul kecenderungan untuk makan tanpa had dan mengambil lebih banyak makanan sesuai dengan kadar yang telah dibayar. Sudah pasti, ada makanan yang terbuang dan tidak mampu dimakan semuanya. Ia sekali gus menyumbang kepada peningkatan mendadak kutipan sisa makanan.

Peningkatan sisa makanan yang dilaporkan menunjukkan kesedaran masyarakat masih di takuk lama. Hal ini juga menunjukkan bahawa matlamat kempen kesedaran untuk mengurangkan pembaziran makanan dalam kalangan masyarakat masih belum tercapai sepenuhnya.

Natijahnya, tapak pelupusan sampah terus-terusan dibeban dengan pertambahan sisa. Dianggarkan sebanyak 95 peratus daripada sisa yang dikutip dilupuskan di tapak pelupusan sampah. Bakinya pula dihantar ke loji rawatan haba berskala kecil di beberapa negeri.

Hakikatnya, tanpa kaedah atau teknologi pengurusan sisa lain, keperluan terhadap pembinaan tapak pelupusan sampah yang baharu akan terus meningkat dengan peningkatan jumlah kutipan sisa di seluruh Malaysia. Namun begitu, untuk mendapatkan tanah yang sesuai sebagai kawasan tapak pelupusan sampah bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya di bandar kerana masyarakat tidak mahu kemudahan ini terletak berhampiran dengan kediaman.

Pada masa ini, tapak pelupusan sampah merupakan pilihan utama bagi pengurusan sisa di Malaysia kerana infrastruktur sampah tidak dibangunkan dengan baik. Namun begitu, kebergantungan pada tapak pelupusan sampah merupakan kaedah kurang mampan kerana tanah lebih diperlukan untuk tujuan lain seperti pembangunan ekonomi.

Selain itu, tapak pelupusan sampah menjadi sumber pencemaran kerana sisa buangan biodegradasi dan bukan biodegradasi mengeluarkan gas beracun seperti metana selain proses penguraian yang memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Biarpun negara ini mempunyai tapak pelupusan sampah yang banyak, ruangan yang tinggal lambat-laun akan penuh. Pada kebiasaannya, sesuatu tapak pelupusan sampah boleh bertahan selama 25 tahun.

Yang membimbangkan ialah jangka hayat beberapa tapak pelupusan sampah di beberapa negeri seperti Melaka dan Johor berdepan dengan situasi kritikal akibat peningkatan sisa makanan yang mencecah hampir 17 ribu tan sehari. Jumlah ini melebihi daripada jangkaan dan dibimbangi tapak pelupusan sampat tersebut tidak mampu lagi menampung keperluan semasa.

Mengikut jangkaan asal, sesetengah tapak pelupusan sampah boleh bertahan hingga lima tahun. Namun demikian, kawaasan tersebut sudah semakin sesak dan tenat sehinggakan pasak dinaikkan dan sampah dilonggokkan setinggi yang boleh bagi memaksimumkan ruang yang ada.

Jangka hayat tapak pelupusan sisa pepejal seperti di Bukit Tagar yang dijangkakan boleh bertahan sehingga 50 tahun lagi turut berdepan risiko menjadi lebih singkat sekiranya langkah pengurangan sisa tidak dilakukan dalam kadar segera, apatah lagi dengan bilangan populasi Malaysia yang semakin meningkat setiap tahun.

Oleh hal yang demikian, antara langkah yang dilihat berpotensi untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat adalah dengan menggunakan pendekatan pendidikan. Isi rumah perlu memahami bahawa makanan yang disediakan di rumah menjadi penyumbang terbesar kepada penghasilan sisa makanan berbanding di restoran, hotel atau bazar. Pengintegrasian nilai Islam perlu diterapkan sebagai inisiatif ke arah pengurusan sisa makanan berkesan yang disebabkan oleh sikap yang tidak bertanggungjawab dan budaya membazir.

Di samping itu, lebih banyak program perlu dijalankan untuk menyemai budaya hemat berbelanja dan mengikis tabiat membazir dalam kalangan masyarakat negara ini yang semestinya perlu dikekang. Satu daripada program yang sepatutnya diperluaskan ke setiap daerah di Malaysia ialah Value Food, No Waste anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Melalui program ini, beratus-ratus kilogram makanan dan minuman dapat diselamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan sisa pepejal. Lebihan makanan dan minuman tetapi masih boleh dimakan telah diedarkan kepada golongan yang memerlukan hasil kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta peniaga.

Mengikut statistik SWCorp, kira-kira 4086 tan metrik sisa makanan dibazirkan di negara ini yang kebanyakan masih boleh dimakan. Selain itu, secara purata setiap keluarga di negara ini telah membazirkan 500 gram hingga 800 gram makanan yang tidak dimakan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.